TalentCorp lancar Geran Padanan LiKES RM30 juta buat PKS, syarikat pemula

Steven (tengah) ketika gimik perasmian majlis pelancaran Geran Padanan LiKES di sini pada Isnin. Foto SINAR HARIAN - ASRIL ASWANDI SHUKOR
Steven (tengah) ketika gimik perasmian majlis pelancaran Geran Padanan LiKES di sini pada Isnin. Foto SINAR HARIAN - ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KUALA LUMPUR - Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) di bawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) melancarkan inisiatif baharu iaitu Geran Padanan Latihan Industri Untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (LiKES) pada Isnin.

Pendekatan tersebut dibuat bagi menyokong penempatan latihan industri berstruktur dalam syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pemula atau ‘start-up’ di negara ini.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, pihaknya menekankan kepentingan memupuk persekitaran yang mesra latihan industri terutamanya dalam sektor PKS dengan peruntukan berjumlah RM30 juta diberikan kepada program LiKES.

Steven ketika berucap di majlis pelancaran Geran Padanan LiKES di sini pada Isnin. FOTO SINAR HARIAN - ASRIL ASWANDI SHUKOR
Steven ketika berucap di majlis pelancaran Geran Padanan LiKES di sini pada Isnin. FOTO SINAR HARIAN - ASRIL ASWANDI SHUKOR

Menurut beliau, buat pertama kalinya kerajaan memperkenalkan geran padanan terbabit bagi memastikan lebih ramai majikan mengambil bahagian dalam usaha memupuk bakat muda negara ke arah individu berkualiti dan berinovasi tinggi.

“LiKES dan inisiatif sedia ada TalentCorp iaitu program Latihan Industri Berstruktur Nasional (MySIP) akan membantu memastikan kesediaan kerja serta kebajikan pelatih dengan menawarkan elaun semasa tempoh latihan.

“Ia juga membantu mempertingkat latihan industri untuk PKS iaitu sektor yang membentuk 97 peratus daripada jumlah perniagaan di Malaysia dan menyumbang 48.2 peratus kepada pekerjaan negara pada 2022,” katanya ketika berucap serta merasmikan majlis pelancaran LiKES, di Plaza VADS, di sini.

Geran padanan LiKES merangkumi tempoh latihan industri maksimum sehingga enam bulan dan permohonan dibuka bermula 18 Mac ini kepada PKS serta syarikat pemula yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Artikel Berkaitan:

Pemohon berkelayakan perlu menawarkan penempatan latihan sekurang-kurangnya selama 10 minggu dan menyediakan elaun minimum latihan industri yang ditetapkan.

Bagi pelajar pengajian Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1 hingga Tahap 3, diploma dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) bakal menerima elaun minimum sebanyak RM500 sebulan yang mana TalentCorp turut membayar semula kepada majikan berjumlah RM250 sebulan.

Pelajar yang mengikuti Diploma Kemahiran Lanjutan Malaysia (DLKM), Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana atau Sijil Profesional, elaun minimum yang perlu dibayar adalah RM600 sebulan dan TalentCorp akan membayar semula sebanyak RM300 sebulan.

Thomas ketika berucap pada majlis pelancaran Geran Padanan LiKES di sini pada Isnin. Foto SINAR HARIAN - ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Thomas ketika berucap pada majlis pelancaran Geran Padanan LiKES di sini pada Isnin. Foto SINAR HARIAN - ASRIL ASWANDI SHUKOR.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Thomas Mathew memaklumkan, aspek utama pengukuhan penyaluran permintaan dan bekalan tenaga kerja terletak kepada pelaksanaan latihan industri yang berstruktur.

Tambah beliau, ia memainkan peranan penting sebagai salah satu strategi utama untuk menghasilkan bakat berkualiti sekali gus mengurangkan pengangguran belia dan menangani ketidakpadanan kemahiran serta guna tenaga tidak penuh.

“Saya galakkan PKS dan syarikat pemula terutamanya mereka yang beroperasi di luar bandar untuk memohon geran padanan LiKES ini bagi menyediakan peluang latihan industri bermakna kepada tenaga kerja masa hadapan.

“Lebih penting lagi, kami berusaha untuk memudahkan peralihan bakat muda daripada institusi pendidikan ke alam pekerjaan secara strategik.

“Di samping itu, menyediakan sokongan kewangan kepada PKS yang membolehkannya mengambil langkah proaktif dalam memupuk bakat tempatan,” ujar beliau.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28