Pemain lain sedia isi posisi Davies

Daniel Ting (kiri) ketika menjalani latihan bersama pemain Harimau Malaya lain. Foto FB FAM
Daniel Ting (kiri) ketika menjalani latihan bersama pemain Harimau Malaya lain. Foto FB FAM
A
A
A

PEMAIN pertahanan Daniel Ting mengakui ketiadaan Matthew Davies dalam senarai pemain bagi perlawanan ketiga Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman di Kompleks Sukan Sultan Qaboos pada Jumaat ini satu cabaran buat skuad Harimau Malaya.

Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon sebelum itu mengesahkan Davies dan Junior Eldstal dua pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) disisihkan daripada skuad Harimau Malaya ke Muscat, Oman akibat kecederaan.

Biarpun begitu, Daniel menyifatkan situasi itu juga merupakan peluang terbaik untuk pemain-pemain Harimau Malaya lain mengisi kekosongan yang ditinggalkan tonggak pertahanan berusia 29 tahun berkenaan.

“Sudah tentu ia adalah satu kerugian besar, terutamanya apabila pasukan kehilangan khidmat Matt, tambahan pula kebiasaannya dia merupakan kapten pasukan dan tentu sahaja anda mahu kapten anda bersama-sama pasukan menentang Oman.

“Begitu pun pasukan mempunyai banyak pilihan selain ini juga peluang kepada pemain lain yang dipilih jurulatih merebut peluang mengisi posisi Matt.

“Tetapi ya, sudah tentu kami akan merindui apabila kehilangan watak besar yang berpengaruh dalam pasukan,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA), Sepang sebelum berlepas ke Oman.

Mengenai latihan pusat sebelum berdepan Oman sebelum ini, Daniel menyifatkannya satu perkembangan positif apabila pemain-pemain dapat kembali semula ke prestasi terbaik.

“Malah terdapat juga pemain-pemain juga teruja memulakan latihan selepas terdapat yang telah menjalani pra musim bersama pasukan masing-masing.

Artikel Berkaitan:

“Namun di sini, kami bekerja keras dalam latihan, bersama jurulatih berkenaan taktikal persediaan untuk perlawanan menentang Oman.

“Perlawanan menentang Nepal sesuatu yang penting bagi membolehkan pemain-pemain mendapatkan minit permainan selain tahap kecergasan yang amat diperlukan bagi persediaan berdepan Oman,” katanya.