Usahawan Malaysia disaran teroka pasaran semikonduktor India

Ahli perniagaan Malaysia digesa supaya merebut peluang dalam sektor semikonduktor di pasaran India. Gambar hiasan Foto 123rf
Ahli perniagaan Malaysia digesa supaya merebut peluang dalam sektor semikonduktor di pasaran India. Gambar hiasan Foto 123rf
A
A
A

AHLI perniagaan Malaysia digesa supaya merebut peluang dalam sektor semikonduktor di pasaran India dengan mengembangkan kemudahan mereka di sana dan menjadi sebahagian daripada kisah pertumbuhan negara itu, kata Konsortium Industri India di Malaysia (CIIM).

Presiden CIIM, Datuk Umang Sharma dalam membuat saranan itu menekankan prospek perniagaan yang berpotensi di India untuk usahawan Malaysia sambil menyatakan bahawa Perdana Menteri India Narendra Modi telah menerajui projek transformasi dengan jumlah pelaburan sebanyak AS$185 bilion dalam tempoh 75 hari pertama tahun ini.

"Projek-projek ini termasuk pelaburan besar dalam infrastruktur kereta api dan semikonduktor. Hasilnya, India muncul sebagai pasaran menguntungkan yang sedang 'ranum’ untuk diterokai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis makan malam yang diadakan sempena Mesyuarat Agung Tahunan CIIM di sini pada 14 Mac yang turut dihadiri Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B N Reddy dan pegawai kanan daripada agensi-agensi kerajaan.

Majlis itu diadakan untuk memperingati penubuhan CIIM yang bakal mencapai usia dua dekad pada tahun depan, berfungsi sebagai platform untuk merenung pencapaian masa lalu dan melakar perjalanan untuk usaha masa depan.

Umang juga menggesa usahawan Malaysia untuk melabur dalam sektor-sektor baharu seperti tenaga boleh diperbaharui, petrokimia dan syarikat pemula dalam pasaran India.

Ahli perniagaan India itu menekankan peranan penting pelancongan dalam menggalakkan pelaburan perniagaan selain menyokong langkah pengecualian visa yang berterusan untuk menarik lebih ramai pelancong India ke Malaysia.

Beliau memuji kempen "Chalo India'’ oleh Modi bagi menggalakkan warga India di luar negara mempromosikan pelancongan, meningkatkan lagi hubungan dua hala, sambil menggesa Indian Airlines menyambung semula operasi penerbangan ke Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Dengan lebih banyak syarikat penerbangan melakukan penerbangan dari bandar-bandar di India, pembinaan keupayaan akan meningkat untuk membawa masuk lebih banyak pelancong dan kadar tiket akan menjadi lebih berdaya saing, menjadikan perjalanan lebih menarik,” katanya.

Dalam ucapannya, Umang menekankan peranan aktif CIIM dalam menganjurkan dan mengambil bahagian dalam lebih 52 acara dan mesyuarat dalam tempoh dua tahun lepas, memenuhi keperluan yang pelbagai bagi ahlinya.

Sorotan penting acara yang dianjurkan termasuk delegasi perniagaan, acara perangkaian dan penglibatan dengan agensi kerajaan seperti Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Talentcorp.

Acara perangkaian menerusi sukan golf yang dihadiri 150 pemain golf daripada sektor awam dan komuniti perniagaan merupakan satu pencapaian penting untuk CIIM. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28