Integrity Hub Training Rasuah Busters atasi penurunan moral penjawat awam

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Integrity Hub Training Rasuah Busters yang modulnya dibina berdasarkan CRM (Corruption Risk Management) membawa pendekatan agama mampu mengatasi penurunan moral kakitangan awam.

Presiden Pertubuhan Anti Korupsi Malaysia (PAKAR), Datuk Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, pendekatan sebegitu memberi kesan mendalam kerana majoriti penjawat awam di negara ini beragama Islam.

"Umat Islam semua percaya apa sahaja perbuatan kita sebesar zarah pun akan dikira, jadi jika mereka mengambil atau memberi rasuah bakal dihitung kelak.

"Saya juga yakin semua agama di negara ini tidak membenarkan rasuah diberi atau diterima oleh semua penganutnya. Jadi saya rasa ia sesuai sebagai solusi penurunan moral kakitangan awam mahupun swasta," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurut Shamshun Baharin, beliau menyokong penuh usaha dilakukan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seperti #RasuahBusters dalam mencegah dan memerangi jenayah berkenaan.

Ujarnya, tugas membendung rasuah yang semakin membarah tidak boleh diletakkan di atas bahu badan penguatkuasaan semata-mata.

"Semua NGO perlu main peranan terutama sekali dalam mencegah rasuah melalui penganjuran program bagi mendidik orang ramai sehingga akhirnya dapat mewujudkan budaya membenci dan menolak rasuah di sektor awam serta swasta.

"Selain Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh menangani ketirisan integriti, individu paling utama memainkan peranan adalah ketua jabatan," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya lagi, langkah terbaik yang boleh dilakukan di semua peringkat kementerian ialah dengan memberikan ketua jabatan kuasa menilai petunjuk prestasi utama (KPI) kakitangan dan melibatkan isu integriti.

Ujar Shamshun Baharin, mengikut statistik tahunan dikeluarkan SPRM, terdapat empat kesalahan utama yang dilakukan penjawat awam iaitu menerima, memberi, tuntutan palsu dan salah guna kuasa.

"Kesalahan menerima adalah paling banyak, sebab itulah mereka perlu diberi pendedahan kesedaran rasuah setiap masa.

"Mereka juga wajar dihantar mengikuti kursus secara tahunan supaya boleh memberi kesedaran dan peringatan serta sebagai amaran berhubung kesalahan rasuah yang biasa dilakukan penjawat awam.

“Sesi taklimat dan ceramah berhubung integriti dan isu memerangi rasuah juga perlu diadakan dengan lebih kerap bagi memulihkan semula imej jabatan kerajaan yang dilabel mengamalkan rasuah,” katanya.

Sementara itu, Shamshun Baharin berpandangan, kerajaan perlu meneruskan kesinambungan usaha sedia ada atau yang belum terlaksana dalam Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (NACP 2019-2023) bagi mencegah habis-habisan jenayah terbabit.

Jelas beliau, jika semua pihak bekerjasama, sasaran Malaysia di tangga bawah 30 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) untuk jangka masa 10 tahun lagi akan terlaksana.

"Semua pihak perlu bekerjasama dalam isu integriti dan penting untuk semai budaya tolak rasuah setiap kali mereka berdepan dengan pelanggan, tolak jika ada yang memberi dan jangan sesekali cuba menawarkannya.

“Bukan hanya SPRM atau Institut Integriti Malaysia (IIM) malah semua jabatan kerajaan perlu main peranan bagi memperkasakan budaya integriti di dalam penjawat awam,” ulasnya.