[VIDEO] Kerajaan tidak mampu bina stadium khas Harimau Malaya

A
A
A

KERAJAAN tidak bercadang membina stadium berbeza untuk penganjuran konsert dan skuad Harimau Malaya dalam masa terdekat.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, kerajaan tidak mampu untuk menampung pembinaan stadium tersebut dan tumpuan adalah untuk memastikan penggunaan seimbang Stadium Nasional Bukit Jalil untuk sebarang penganjuran aktiviti dan kegunaan pasukan Harimau Malaya.

"Kalau saya diberikan pilihan semestinya saya nak dua stadium yang berlainan. Tetapi stadium yang mempunyai kapasiti 80,000 orang memang hanya satu iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Macam konsert Cold Play dan Harimau Malaya, stadium akan penuh jadi untuk kita sekarang adalah mengimbangkan penggunaan kerana kita tidak mampu untuk membina satu stadium dalam masa terdekat.

"Cuma yang paling dekat saya rasa stadium di Shah Alam yang akan dibangunkan oleh Selangor nanti. Harapan saya dengan kehadiran pakar yang akan membantu, kita akan 'turn over' padang tersebut dengan cepat," katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat Rabu lalu.

Sebelum ini, stadium tersebut sering menimbulkan isu terutama selepas berlangsungnya sebarang konsert yang menyaksikan padang mengalami kerosakan yang teruk.

Ia sekali gus menyebabkan perlawanan membabitkan pasukan Harimau Malaya terjejas dan menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penyokong bola sepak negara.

Terbaharu konsert artis antarabangsa, Ed Sheeran di Bukit Jalil bulan lalu sekali lagi mengundang masalah padang apabila dilaporkan rumput tidak berada pada tahap terbaik menjelang perlawanan Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 Harimau Malaya menentang Oman pada 26 Mac nanti.

Artikel Berkaitan:

Keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang rosak selepas penganjuran konsert Cold Play sebelum berlangsungnya perlawanan akhir Piala Malaysia tahun lalu.
Keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang rosak selepas penganjuran konsert Cold Play sebelum berlangsungnya perlawanan akhir Piala Malaysia tahun lalu.

Dalam pada itu, Hannah menegaskan Stadium Nasional Bukit Jalil tetap menjadi rumah pasukan bola sepak kebangsaan dan perlawanan tetap mendapat keutamaan Kementerian Belia dan Sukan.

"Itu sebab selalunya kita melibatkan banyak mesyuarat agar perlawanan dapat berlangsung. Kita juga dalam Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) ada Datuk Seri Windsor John yang merupakan ahli dalam AFC dan beliau sering memberikan nasihat kepada PSM agar standard (padang) dijaga," katanya.