Ujian sukar Pan-gon

Skuad negara berdepan masalah kecergasan kerana saingan liga yang belum bermula. FOTO: FB FAM
Skuad negara berdepan masalah kecergasan kerana saingan liga yang belum bermula. FOTO: FB FAM
A
A
A

PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengakui skuad negara tidak berada dalam situasi yang bagus menjelang dua perlawanan Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman bulan ini.

Menurutnya, ketiadaan saingan liga yang berakhir pada Disember lalu memberikan masalah terutama untuk kembali membentuk kecergasan para pemain sebelum berdepan pasukan yang berada pada ranking ke-80 dunia itu.

“Situasi sekarang tidak bagus. Seperti kita tahu liga hanya akan bermula pada Mei, ia menjadikan situasi sukar. Pemain perlu sentiasa bermain setiap minggu.

“Lima bulan tidak bermain dan kami ada perlawanan penting pada Mac. Selepas Piala Asia Qatar sehingga sekarang tiada perlawanan, malah ada kelab yang belum mula pramusim.

“Secara fizikal dan kecergasan, kami ketinggalan. Kami sukar untuk melihat perkara positif ketika ini. Tetapi ini yang kami perlu hadapi,” katanya.

Skuad negara akan berdepan Oman pada 21 Mac di Muscat sebelum menerima kunjungan lawan di Stadium Nasional Bukit Jalil lima hari kemudian.

Artikel Berkaitan:

Foto FB FAM
Foto FB FAM

Bagaimanapun, Pan-gon tetap berterima kasih kepada kelab yang sudi melepaskan pemain untuk membolehkannya bersedia sebelum menghadapi Oman.

“Sekurang-kurangnya kami boleh memulakan latihan dan bersedia. Kami akan ada satu perlawanan persahabatan tertutup menentang Nepal pada 15 Mac,” katanya.

Dalam pada itu, Pan-gon juga percaya pasukan kejurulatihan akan cuba mencari taktikal terbaik terutama ketika menghadapi ranjau sukar perlawanan di Muscat.

“Kami perlu berhati-hati kerana saya risau risiko kecederaan (selepas lama tidak beraksi). Taktikal perlawanan juga perlu diutamakan kerana kami kekurangan daripada segi fizikal dan kecergasan.

“Kami akan cuba walaupun tidak tahu sama ada ia akan berjaya menentang pasukan di ranking ke-80 dunia itu,” katanya.

Malaysia ketika ini memimpin saingan Kumpulan D dengan mengumpul enam mata hasil kemenangan ke atas Kyrgyzstan (4-3) dan Taiwan (1-0) dalam dua aksi sebelum ini.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28