Syor naikkan harga lantai padi dibawa ke mesyuarat NACCOL 20 Mac ini

Syed Abu Hussin Hafiz bercakap pada sidang media mengenai harga beras tempatan di Cyberjaya pada Khamis. Foto Bernama
Syed Abu Hussin Hafiz bercakap pada sidang media mengenai harga beras tempatan di Cyberjaya pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

CYBERJAYA - Kerajaan disaran meningkatkan harga lantai belian padi kepada RM1,500 berbanding RM1,300 satu tan metrik sekarang.

Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, kenaikan itu penting bagi melindungi petani tempatan daripada terjejas jika berlaku penurunan harga padi di pasaran global.

Syed Abu Hussin berkata, hasil libat urus terkini bersama pesawah Kluster Makanan NACCOL mencadangkan supaya petani diberikan subsidi tambahan bernilai RM200 bagi setiap tan metrik penjualan padi oleh kerajaan.

Beliau berkata, cadangan itu dikemukakan bagi menampung kekurangan margin harga belian bagi setiap tan metrik oleh pengilang kepada pesawah.

Katanya, ini kerana harga belian padi ideal bagi setiap tan metrik adalah sekitar RM1,700.

"Pemberian subsidi RM200 penting bagi membolehkan pesawah menikmati keuntungan pada saat pengilang hanya mampu membeli harga padi pada harga RM1,500 per tan metrik.

"Pemberian subsidi tambahan hanya membabitkan kos RM360 juta berbanding pemberian subsidi bersasar kepada golongan berpendapatan rendah (B40) yang mencecah berbilion ringgit.

"Jadi pemberian subsidi tambahan ini tidak akan membebankan kerajaan kerana ia menggalakkan petani supaya berusaha lebih gigih untuk memastikan keselamatan makanan negara sentiasa terjamin," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa di Cyberjaya hari ini.

Artikel Berkaitan:

Cadangan itu akan dibentangkan dalam Mesyuarat NACCOL yang dijangka dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 Mac ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bersetuju peningkatan harga lantai belian padi kepada RM1,300 satu tan berbanding RM1,200, kadar sejak 2014.

Beliau berkata, keputusan itu diambil bagi membantu menambah pendapatan pesawah.

Mengulas lanjut, Syed Abu Hussin berkata, jika kedua-dua cadangan itu dilaksanakan rakyat dijangka boleh membeli beras Madani 10 kilogram dengan harga bawah RM30 berbanding RM40 sekarang.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28