Kutip deposit antara langkah tangani tunggakan kos perubatan warga asing

Lukanisman pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Khamis. Foto Bernama
Lukanisman pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) mempunyai beberapa langkah bagi menangani risiko tunggakan kos perubatan bagi pesakit warga asing antaranya termasuklah mengutip deposit mengikut kelas wad sebelum rawatan diberikan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, deposit sebanyak RM2,800 dikenakan kepada warga asing bagi prosedur pembedahan kelas tiga manakala RM11,000 bagi kelas satu.

Beliau berkata, antara langkah lain, mengadakan perjanjian jaminan bank dengan syarikat swasta bagi membolehkan pekerja mendapatkan rawatan di hospital, bekerjasama dengan Jabatan Imigresen bagi mewajibkan majikan mencarum Skim Perlindungan Insurans Kesihatan Pekerja Asing.

"Serta bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu membantu membiayai kos pesakit warga asing," katanya ketika menggulung Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KKM di Dewan Rakyat pada Khamis.

Lukanisman memaklumkan sebanyak RM40.08 juta jumlah tunggakan direkodkan tahun lepas yang tidak dijelaskan oleh warga asing.

Berhubung statistik pegawai perubatan siswazah (HO) yang tidak menamatkan latihan, beliau berkata, berdasarkan rekod sejak 2021 hingga 2023, sebanyak 1,059 pegawai perubatan siswazah telah meletak jawatan.

"Dalam tempoh sama, KKM telah menerima 355 permohonan dan rayuan pelantikan semula daripada pegawai yang telah meletak jawatan untuk dilantik sebagai HO," katanya.

Beliau berkata, bagi aduan berkaitan kes buli dalam kalangan petugas, KKM telah melancarkan Sistem MyHELP pada 1 Oktober 2022, dengan jumlah aduan direkodkan sebanyak 259 setakat 29 Februari lepas.

Artikel Berkaitan:

Daripada jumlah itu, 52 aduan dikemukakan pegawai perubatan dengan enam aduan yang diterima mempunyai aduan berunsur buli dan kini dalam peringkat siasatan untuk pengesahan dan pembuktian, katanya.

Beliau berkata baki 46 aduan lagi melibatkan aduan pelbagai seperti isu perkhidmatan, permohonan naik pangkat, pertukaran dan lain-lain.

Sementara itu, mengenai pelaksanaan projek menaik taraf dan pembangunan semula klinik kesihatan daif, Lukanisman berkata, ia dilaksanakan secara adil di seluruh negara.

Beliau berkata, KKM tidak membezakan keperluan menaik taraf klinik kesihatan di kawasan Parlimen kerajaan mahupun pembangkang kerana ia melibatkan kepentingan rakyat.

"Menerusi peruntukan RM150 juta untuk tahun ini, sebanyak 401 projek akan dilaksanakan merangkumi kerja-kerja meroboh dan membina baharu membabitkan 81 KK (klinik kesihatan) dan pembaikan pula meliputi 320 klinik daif.

"Saya beri jaminan bahawa taburan kesemua klinik ini tidak kira Parlimen kerajaan, pembangkang atau Bebas, saya pasti setiap kawasan Parlimen mempunyai projek tersebut," katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28