KSN dilantik Pro Canselor UMT

Mohd Zuki. Foto Bernama
Mohd Zuki. Foto Bernama
A
A
A

KUALA NERUS - Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali dilantik Pro Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa 1 Mac lepas.

Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata, pelantikan sehingga 28 Februari 2027 itu telah mendapat perkenan Canselor UMT yang juga Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Beliau berkata, pengalaman luas anak jati Terengganu itu dalam bidang pengurusan dan pertadbiran kerajaan telah melayakkannya menerima pelbagai anugerah sehingga dilantik menjadi KSN sejak 31 Dis 2019.

"Beliau juga pernah dilantik sebagai Setiausaha Sulit Kanan Kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke-13 dari 2006 hingga 2011, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (2015-2016), Setiausaha Persekutuan Sarawak (2016) dan Timbalan Setiausaha Kanan Kerajaan (2019).

"UMT yakin dengan pengalaman dan ketokohan Mohd Zuki, ia akan membantu dalam melonjak citra universiti sebagai institusi pendidikan tinggi berfokus marin yang terunggul dalam negara dan di peringkat global,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain Mohd Zuki, UMT turut mempunyai seorang lagi Pro Canselor iaitu Tan Sri Samsudin Osman.

Mohd Zuki memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (Kewangan) dari Universiti Teknologi Nanyang, Singapura. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: