CAP gesa KPKM segera atasi masalah pesawah KADA

Pesawah menunjukkan tanah di kawasan KADA yang kering kontang.
Pesawah menunjukkan tanah di kawasan KADA yang kering kontang.
A
A
A

GEORGE TOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengambil tindakan segera atasi masalah para pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) bagi meningkatkan hasil pendapatan mereka dan pengeluaran beras negara.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, selain infrastruktur menjadi salah satu punca kemerosotan hasil padi di KADA, ada beberapa lagi faktor lain antaranya serangan serangga perosak.

"Faktor lain ialah penyusutan tanah sawah akibat pelaksanaan projek pembangunan serta lain-lain masalah seperti ancaman banjir, kemarau, serangan serangga perosak termasuk tanah sawah jerlus turut menyumbang kepada kekurangan hasil padi di kawasan ini.

"Walau pun hasil padi di kawasan tersebut melepasi purata hasil nasional 4.1 tan metrik sehektar, KADA masih ketinggalan berbanding hasil di Selangor iaitu 4.32 tan metrik, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) 4.24 tan metrik dan Pulau Pinang 5.05 tan metrik sehektar," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohideen
Mohideen

Mohideen menambah, masalah sistem pengairan tidak sempurna dan gagal berfungsi dengan berkesan telah menyebabkan beberapa kawasan sawah di KADA terancam.

"Banyak pokok padi terencat pembesarannya musnah akibat kemarau dan banjir. Pada Mei 2023, seluas 7,800 hektar tanaman padi di kawasan ini terjejas berikutan cuaca panas yang berlaku di Kelantan.

"Selain itu, pada Disember tahun yang sama, KADA turut mengalami kerugian sebanyak RM17 juta akibat kemusnahan pokok padi ditenggelami air ketika banjir.

Artikel Berkaitan:

"Pada 2022 pula, seluas 1,000 hektar tanah sawah menjadi jerlus berpunca daripada masalah sistem saliran. Akibatnya, KADA telah kehilangan hasil padi sebanyak 4,200 tan metrik," tambahnya lagi.

Beliau berkata, kejadian itu amat membimbangkan CAP kerana jika tidak ditangani segera, dibimbangi lebih luas tanah sawah di jelapang padi tersebut tidak dapat diusahakan lalu terbiar.

"Justeru, untuk menyelamatkan masa depan sumber pendapatan dan kehidupan 7,648 pesawah selain mengekalkan 25,149 hektar kawasan sawah di KADA, CAP berharap KPKM mengambil tindakan segera ke atas punca-punca berlakunya masalah tersebut.

"CAP juga meminta jabatan dan agensi yang terlibat memberi perhatian serius terhadap kesan penggunaan racun perosak serta jentera berat yang boleh mengancam alam sekitar dan menjejaskan tanah sawah.

"CAP percaya, jika masalah tersebut berterusan, ia bukan saja para pesawah KADA akan mengalami kesempitan hidup malah bekalan makanan untuk rakyat dan sektor pertanian negara juga akan terjejas," katanya.