Isu kantin sekolah: Bukti pendirian politik Pas, PN tak serasi dengan Malaysia

Syahredzan
Syahredzan
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Pas membantah keputusan membuka kantin sekolah sepanjang Ramadan menunjukkan pendirian politik yang tidak serasi dengan negara pelbagai kaum dan agama seperti Malaysia.

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, tujuan dan niat Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek adalah berpaksikan nilai kemanusiaan dan amat mendukacitakan apabila terdapat pemimpin Pas dan Perikatan Nasional (PN) yang menjadikannya sebagai polemik politik.

Menurutnya, insiden-insiden yang dilaporkan sebelum ini di mana anak-anak bukan Muslim terpaksa makan di tandas sekolah dan tempat-tempat yang tidak sesuai sewaktu bulan puasa juga tidak harus dilupakan.

"Adakah pemimpin Pas seperti Datuk Ahmad Yahaya tidak mempunyai rasa belas kasihan untuk anak-anak ini?

"Jelas bahawa mereka lebih cenderung untuk mengeluarkan kenyataan yang memecah-belah masyarakat dan bukannya memupuk perpaduan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ketua Dewan Ulama Pas Pusat merangkap Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Ahmad Yahaya menyifatkan pengumuman bahawa kantin sekolah mesti dibuka pada bulan puasa adalah 'keterlaluan' dan tidak menghormati Ramadan.

Mengulas lanjut, Syahredzan menjelaskan, terdapat pelbagai sebab mengapa kantin wajar dibuka ketika Ramadan.

"Di sesebuah sekolah, ada pelajar dan guru bukan Islam yang tidak berpuasa.

Artikel Berkaitan:

"Di samping itu, untuk anak-anak Muslim walaupun mereka harus dididik berpuasa, tetapi yang belum baligh tidak diwajibkan berpuasa," katanya.

Justeru beliau menggesa Pas dan PN untuk berhenti mempolitikkan isu kantin sekolah.

"Perkara seperti ini tidak wajar dicemarkan dengan politik sempit mereka," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28