Tawan 30 air terjun di Malaysia, negara jiran

Nurulain Najihah bergambar di hadapan air terjun Padang Batu, Rompin, Pahang.
Nurulain Najihah bergambar di hadapan air terjun Padang Batu, Rompin, Pahang.
A
A
A

SHAH ALAM - Bermula dengan niat sekadar mencuba, aktiviti mendaki gunung dan ‘waterfall hunting’ kini menjadi rutin bagi seorang gadis kelahiran Gombak, Selangor sehinggakan berjaya menawan hampir 30 air terjun dari dalam serta luar negara.

Pembantu pengurusan sumber manusia, Nurulain Najihah Noor Azmi, 26, berkata, hobi meneroka alam semula jadi itu memberinya ketenangan dan kepuasan tatkala mendengar deruan air terjun serta keindahan panorama selepas sesi pendakian yang memenatkan.

Malah menurutnya, eksplorasi yang dimulakan sejak usia 18 tahun itu mampu memupuk kesedaran kepada orang ramai tentang kehebatan dan keagungan ciptaan Tuhan.

“Namun, bermula tahun lepas sehingga kini, saya semakin aktif kongsi pengalaman dan tip di platform Tiktok kerana mahu menunjukkan keindahan alam terutamanya air terjun kepada pengikut.

Nurulain Najihah tidak lepaskan peluang merakamkan gambar kenangan di hadapan salah satu air terjun di Lepoh, Hulu Langat.
Nurulain Najihah tidak lepaskan peluang merakamkan gambar kenangan di hadapan salah satu air terjun di Lepoh, Hulu Langat.

“Di Malaysia dan Indonesia, saya dan rakan-rakan sudah pergi hampir 30 kawasan air terjun itu pun banyak yang belum diteroka kerana saya masih baharu dan pengalaman tidaklah sehebat orang lain.

“Sekarang saya sedang rancang nak jelajah lebih banyak tempat supaya boleh berkongsi banyak perkara buat ‘pemburu’ air terjun menerusi media sosial,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Ditanya mengenai kawasan rekreasi paling memberikan kenangan manis dek keindahan panoramanya, Nurulain Najihah memaklumkan, air terjun Padang Batu di Rompin, Pahang antara lokasi yang disarankan untuk pergi kerana air jernih dan visual memukau.

Artikel Berkaitan:

Tambah anak keempat daripada enam adik-beradik itu, air terjun Sipiso di Indonesia juga tidak kalah dengan keunikannya yang tersendiri dan pendaki hanya memerlukan 30 minit untuk tiba ke lokasi berkenaan.

“Perasaan apabila sampai ke destinasi memang puas dan hilang segala penat lelah sebab kita dapat buat hobi kita setiap minggu serta lihat sendiri keindahan air terjun.

Nurulain Najihah bersama rakan-rakannya gemar meneroka alam semula jadi ketika waktu lapang.
Nurulain Najihah bersama rakan-rakannya gemar meneroka alam semula jadi ketika waktu lapang.

“Perkara yang saya akan buat selalunya berendam dalam sungai sambil makan mi segera menghadap air terjun.

“Alhamdulillah, setakat ini tak pernah berdepan detik cemas atau alami apa-apa gangguan mistik, syukur segalanya dipermudahkan ALLAH SWT namun saya perlu sentiasa berhati-hati,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nurulain Najihah yang masih melanjutkan pengajian di universiti tempatan turut menasihatkan orang ramai terutamanya kaum hawa untuk merasai sendiri pengalaman meneroka kawasan baharu meskipun di luar batas kemampuan masing-masing.

“Jangan takut untuk cabar diri sendiri dan cuba aktiviti sebegini.

“Dunia ini luas untuk kita terokai, nikmati dan kenali sementara masih ada daya upaya kerana masa tidak akan menunggu kita, malah kita sendiri yang perlu mencarinya,” jelas gadis tersebut.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28