2 ahli sindiket edar dadah tumpas, 5kg syabu dirampas

Hasil pemeriksaan didalam kereta telah menjumpai lima bungkus dadah disyaki jenis syabu anggaran berat 5,225 gram. Foto PDRM
Hasil pemeriksaan didalam kereta telah menjumpai lima bungkus dadah disyaki jenis syabu anggaran berat 5,225 gram. Foto PDRM
A
A
A

NILAI - Dua ahli sindiket pengedaran dadah tumpas apabila masing-masing ditahan dengan kira-kira lima kilogram syabu dirampas dalam Ops Tapis di Bandar Baru Nilai di sini pada awal pagi Isnin.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, operasi jam 1.50 pagi itu membabitkan sepasukan polis, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.

"Bertindak atas maklumat, sebuah kereta jenis Perodua Axia berwarna putih dinaiki seorang lelaki dan seorang wanita tempatan berusia awal 40-an telah ditahan di tempat letak kereta di hadapan Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Nasional (KWSP) Bandar Baru Nilai.

"Hasil pemeriksaan di dalam kereta telah menjumpai lima bungkus dadah disyaki jenis syabu anggaran berat 5,225 gram," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ujarnya, hasil ujian saringan awal air kencing terhadap suspek lelaki mendapati positif dadah jenis Methamphetamine.

"Dadah yang dirampas itu boleh dibekalkan kepada 10,450 orang penagih dadah jenis Syabu. Jumlah keseluruhan nilai rampasan dan sitaan berjumlah RM172,625, dipercayai dadah ini untuk dibekalkan di sekitar negeri ini, Selangor dan Kuala Lumpur.

"Hasil semakan rekod kesalahan lampau mendapati suspek lelaki mempunyai empat rekod kesalahan lampau narkotik dan dua rekod berkaitan jenayah,manakala suspek wanita tiada kesalahan lampau.

"Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula Isnin dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan 15(1)(a) ADB 1952," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!