X

Kindly register in order to view this article
!

Pegawai SPRM di pejabat menteri KBS

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman -Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahu menjadi kementerian pertama yang menempatkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pejabat menteri.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau akan memohon kepada SPRM untuk proses penempatan itu.

"Saya mahu terus membuat perubahan dan antara langkah itu ialah menempatkan pegawai SPRM di pejabat menteri bagi memperkukuh dan meningkatkan integriti sekali gus membendung sebarang aktiviti rasuah dalam kalangan penjawat awam terutama di pejabat menteri,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis amanat tahun 2020 dan perhimpunan bulanan KBS di sini hari ini, Syed Saddiq berkata, beliau mahu KBS menjuarai hal urus tadbir baik, cekap dan amanah melalui pelaksanaan lima pelan integriti, termasuk penempatan pegawai SPRM di KBS.

Pelan integriti lain ialah kontrak melalui tender terbuka, laporan mitigasi risiko rasuah, audit lengkap setiap jabatan dan agensi dan pegawai di pejabat menteri diwajibkan mengisytiharkan harta.

Menurutnya, daripada 25 kementerian yang dinilai SPRM, KBS pada 2019 berada di tangga ke-16 daripada kedudukan kelapan sebelum ini, dalam senarai kementerian berisiko tinggi berkaitan isu penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa di pejabat kerajaan.

"Kedudukan laporan itu dikira berdasarkan semakin rendah posisi sesebuah kementerian, maka risiko terdedah rasuah atau risiko berlaku rasuah adalah lebih tinggi, bermakna kita telah menjadi lebih baik dari sudut pemerkasaan integriti di kementerian," katanya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq menyambut baik langkah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menangguhkan keputusan pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) bagi 33 Skim Perkhidmatan Kritikal yang dijadualkan bermula 1 Jan lalu.

"Kita mahu pastikan bahawa semua profesional muda negara, khususnya di sektor kesihatan dibela sebaik mungkin dan keputusan penangguhan itu memang sesuatu yang menggembirakan," katanya yang sebelum ini membantah pemansuhan BIPK itu.

JPA dalam satu kenyataan semalam, mengumumkan pemansuhan BIPK ditangguhkan sehingga satu kajian semula dilaksanakan dengan pihak yang berkaitan dan diputuskan jemaah Menteri. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!