X

Kindly register in order to view this article
!

Sokongan meningkat, lebih 500 ahli UMNO sertai Warisan

Mohd Shafie (tengah) bersalaman dengan penduduk ketika berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis di Pusat Daerah Mengundi Simpangan, Ulu Kimanis hari ini. -Foto Bernama
A
A

KIMANIS - Akibat hilang kepercayaan, seramai 556 ahli UMNO Kimanis menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) sepanjang seminggu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis berlangsung sejak proses penamaan calon pada 4 Januari lepas.

Situasi tersebut sekali gus menunjukkan rakyat di kawasan Kimanis hilang keyakinan terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) meskipun pelbagai janji dan taktik diatur parti pembangkang itu bagi menambat hati pengundi di kawasan berkenaan.

Bekas Bendahari UMNO Kimanis selama tiga penggal dari 2010-2016, Ag Muslim Mohd Talib turut menyertai parti tempatan Sabah itu dan menerima kad keahlian yang disampaikan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal semalam.

Mohd Shafie berkata, sejak Warisan memulakan kempen di Kimanis pada 4 Januari lepas, parti itu menerima banyak penyertaan ahli UMNO daripada beberapa cawangan di kawasan berkenaan malah ada markas BN turut dibubarkan.

“Ini sedikit sebanyak menunjukkan perubahan dan kesedaran masyarakat yang tidak mahukan BN dan UMNO...cukuplah di Sabah,” katanya kepada pemberita di sini.

Mohd Shafie berkata, kemasukan ahli UMNO ke dalam Warisan satu petanda baik menjelang pilihan raya kecil itu, namun beliau mengingatkan jentera parti supaya tidak alpa atau cepat berpuas hati dengan perubahan tersebut.

Sebaliknya, beliau mahu jentera parti terus memperhebatkan strategi kempen untuk menambat hati pengundi Kimanis sekali gus memastikan kemenangan calon Warisan pada 18 Januari ini.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Warisan, Datuk Karim Bujang dan calon BN, Datuk Mohamad Alamin.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 18 Januari manakala hari pengundian awal pada 14 Januari. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!