Arab Saudi umum pelan pengurusan jemaah sempena Ramadan

Pelan dilaksana Arab Saudi merangkumi pelbagai bidang termasuk keselamatan, kawalan orang ramai, pengurusan lalu lintas, bantuan kemanusiaan dan bantuan kepada organisasi perkhidmatan. Foto Agensi
Pelan dilaksana Arab Saudi merangkumi pelbagai bidang termasuk keselamatan, kawalan orang ramai, pengurusan lalu lintas, bantuan kemanusiaan dan bantuan kepada organisasi perkhidmatan. Foto Agensi
A
A
A

MAKKAH - Arab Saudi mengumumkan pelan keselamatan umrah sempena Ramadan 2024, lapor Arab News.

Ia termasuk sistem tersusun untuk menguruskan orang ramai terutamanya semasa waktu solat dengan perhatian khusus diberikan ketika solat tarawih dan tahajud.

Menurut Pengarah Keselamatan Awam Arab Saudi, Leftenan Jeneral Mohammed Al-Bassami, rancangan umrah pada bulan Ramadan akan menjalani semakan lanjut dan kawasan Mataf serta tingkat bawah akan dikhaskan secara eksklusif untuk jemaah umrah.

Jelas beliau, pasukan khas juga dikerahkan untuk menangani isu seperti pengemis dan tidur di kawasan larangan sehingga mengganggu aliran jemaah.

Menurutnya, pelan tersebut merangkumi pelbagai bidang termasuk keselamatan, kawalan orang ramai, pengurusan lalu lintas, bantuan kemanusiaan dan bantuan kepada organisasi perkhidmatan.

Stesen pengangkutan berhampiran Masjidil Haram termasuk pintu masuk ke Makkah telah beroperasi dan stesen itu memainkan peranan penting dalam menguruskan lalu lintas ke Masjidil Haram.

“Terdapat permintaan yang tinggi untuk menunaikan umrah pada permulaan Ramadan, dengan perluasan besar-besaran diperuntukkan kepada jemaah,” katanya sambil menambah bahawa aliran keluar masuk yang teratur memastikan keselamatan jemaah yang berjalan ke Masjidil Haram dan sekitarnya.

Beliau turut meramalkan lebih 57 juta jemaah umrah akan melakukan perjalanan dengan bas tahun ini.

Artikel Berkaitan:

“Kami berjaya mengurangkan jumlah kenderaan yang masuk ke kawasan pusat sebanyak lebih tujuh juta. Kami telah menggunakan 3,000 bas merentasi 16 laluan dan 13 stesen,” ujarnya. - Agensi