Pemilihan Bersatu: Syed Saddiq tak gentar dicabar

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

PUTRAJAYA - Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang telah mengumumkan untuk mempertahankan jawatan pada pemilihan parti tidak gentar untuk dicabar.

Beliau berkata, keputusan untuk bertanding mempertahankan jawatan adalah untuk meraikan amalan demokrasi dalam parti sebagaimana disarankan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Jangan tutup pintu demokrasi. Saya boleh dicabar, sesiapa sahaja boleh dicabar. Kalau ada yang lebih baik kita angkat, kalau yang ada itu baik kita kekalkan dan itulah amalan demokrasi dalam Bersatu," katanya.

Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, sikap terbuka untuk dicabar merupakan antara prinsip yang diletakkan oleh pengasas parti ketika Bersatu ditubuhkan pada 2016.

Bersatu akan mengadakan mesyuarat dan perhimpunan agung tahunan serentak dengan pemilihan kepimpinan tertinggi parti pada 20 Jun depan manakala persidangan dan pemilihan di peringkat cawangan ditetapkan mulai 25 Januari hingga 1 Mac diikuti peringkat bahagian pada 4 April.

Menjelang pemilihan Bersatu, terdapat laporan yang mengatakan Syed Saddiq bakal dicabar dua individu pada pemilihan pertama sayap itu pada Jun ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: