X

Kindly register in order to view this article
!

Perpaduan kaum negara ini perlu 'dirawat'

Mohd Tarmizi
A
A

KUANTAN - Pas Pahang menyifatkan teguran daripada Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub hari ini adalah isyarat jelas bahawa perpaduan kaum di negara ini perlu 'dirawat' segera kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ketua penerangannya, Mohd Tarmizi Yahaya berkata, isu tersebut sudah semakin parah dan kerajaan PH tidak sepatutnya membiarkan isu perpaduan dipergunakan dengan kepentingan politik mereka semata-mata.

Beliau mengakui rasa kebencian antara kaum semakin menebal berikutan beberapa insiden membabitkan perkauman berlaku sejak pentadbiran PH dan dibiarkan tanpa 'dirawat' terlebih dahulu.

"Pas lihat ada segelintir pemimpin kerajaan (PH) seolah-olah mahu jadi pejuang kepada perpaduan, namun mereka sebenarnya membiarkan keharmonian sebelum ini terlerai dengan pelbagai isu sebagai contohnya dalam isu tanglung dan tulisan jawi serta sebagainya.

"Dalam isu ini, kita dapat lihat sebahagian Melayu marah dengan kaum Cina yang menentang jawi, malah perkara sama berlaku dalam isu tanglung. Isu sensitiviti begini jelas gagal diselesaikan PH.

"Malah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Nasional), Senator P Waytha Moorthy juga dilihat gagal dalam membina kesepaduan yang lebih baik. Jadi kerajaan PH perlu baiki kerosakan ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Semalam, Hussamuddin mengingatkan kerajaan supaya menangani isu-isu perkauman dan agama dengan berkesan bagi mengelak kebencian yang boleh menghancurkan negara.

Beliau turut menggesa kerajaan termasuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan menteri-menteri Kabinet agar mencari langkah drastik bagi menangani masalah tersebut.

Mengulas lanjut mengenai kenyataannya itu, Mohd Tarmizi berkata, kelantangan bersuara Pengarah Urusan Kumpulan Karangkraf itu membuktikan kecaknaan dan kebimbangan beliau terhadap isu perpaduan di negara ini.

Beliau berkata, keberanian itu membuktikan sebuah syarikat penerbitan juga berhak membuat teguran terhadap kerajaan yang lemah dalam menangani isu berkaitan perpaduan dan agama.

"Kita mahu kerajaan ambil sikap tegas dalam isu ini dan berharap lebih ramai terutamanya pemimpin atau ketua di syarikat penerbitan akhbar lain tampil ke depan untuk menggesa tindakan segera.

"Ini kerana perkara yang dibangkitkan bukan membabitkan isu politik tetapi ia adalah untuk keharmonian negara Malaysia," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus