Petinju 12 negara gegar Taiping

Petinju, Putera Iskandar dari GCS Perak (tengah) meraikan kemenangan setelah menewaskan petinju Thailand, Phet Koh Yao pada Kejohanan Pra MIMAC 2024.
Petinju, Putera Iskandar dari GCS Perak (tengah) meraikan kemenangan setelah menewaskan petinju Thailand, Phet Koh Yao pada Kejohanan Pra MIMAC 2024.
A
A
A

PETINJU dari 12 negara bakal berentap pada Kejohanan Muay Antarabangsa Malaysia (MIMAC) 2024 di Dataran Warisan Taiping, Taiping pada 30 Mei hingga 2 Jun ini.

Acara berprestij anjuran Persatuan Tomoi Negeri Perak itu menyaksikan penyertaan peserta antara lain dari Thailand, Vietnam, Kemboja, Iran, Laos dan Afghanistan.

Presidennya, Mohd Ezry Azamin Abdul Wahab berkata, penganjuran kali pertama ini diadakan bagi merancakkan Tahun Melawat Perak (TMP) 2024 sekali gus menjadi sebuah acara hebat mengisi kalendar aktiviti pelancongan tahun ini.

"Kesemua peserta ini berusia antara 16 hingga 21 tahun bagi peringkat profesional akan merebut 12 tali pinggang yang dipertandingkan pada kejohanan itu pada sebelah malam.

"Pada sebelah siang, perlawanan hanya melibatkan peserta tempatan dalam tiga kategori iaitu Super Kid (9-11 tahun), Remaja (12-16 tahun) dan Terbuka 16 hingga 21 tahun," katanya dalam sidang akhbar pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas Kejohanan Pra-MIMAC 2024 di Taiping Mall yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, yang juga Ahli Parlimen Taiping.

Mohd Ezry Azamin berkata, selain dari mempromosi TMP 2024, acara kali ini juga bertujuan untuk menaik taraf kejohanan sukan muay tempatan ke peringkat antarabangsa.

"Kita menyasarkan lebih 5,000 peminat seni mempertahan diri dari dalam dan luar negara bakal memenuhi Dataran Warisan Taiping.

Artikel Berkaitan:

"Kejohanan ini dijangka akan dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan kita harap sukan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat dapat diangkat menjadi sukan teras," katanya.

Katanya, Taiping dipilih sebagai lokasi kejohanan sempena sambutan 150 tahun bandar Taiping sebagai bandar warisan malah lokasinya yang strategik mampu menjadikan ia sebagai pusat kejohanan Muay peringkat antarabangsa. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28