Tiada pelajar MRSM dijangkiti influenza A

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Amanah Rakyat (Mara) memaklumkan, setakat ini tiada pelajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang dijangkiti virus influenza A.

Mara dalam satu kenyataan berkata, tiada sebarang keperluan untuk menutup operasi mana-mana MRSM dan Institusi Pendidikan Mara (IPMA) di seluruh negara.

Menurutnya, penutupan itu hanya akan dibuat atas arahan dan setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan.

"Pihak kami dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah akan sentiasa memantau warga MRSM serta semua IPMA di seluruh negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes influenza A di Selangor terkawal

“Semua Institusi Pendidikan di bawah kelolaan Mara akan dipastikan untuk mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) Pengawalan Penularan Wabak Influenza A yang telah ditetapkan serta sentiasa mematuhi arahan daripada Kementerian Kesihatan," menurut kenyataan itu.

Katanya, pelajar dan warga MRSM sentiasa diberi peringatan mengenai bahaya wabak influenza A serta tindakan pencegahan yang perlu diambil bagi mengelakkan sebarang kemungkinan.

“Mara meminta agar ibu bapa tidak perlu bimbang dan sentiasa berhubung dengan pihak pengurusan MRSM untuk mendapatkan maklumat yang sah.

“Mara sentiasa prihatin dengan kebajikan dan keselamatan seluruh pelajar di Institusi Pendidikan Mara termasuk MRSM dan akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut prosedur yang telah ditetapkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) mengesahkan menerima laporan penutupan sekolah di beberapa negeri antaranya Pulau Pinang dan Selangor apabila terdapat pelajar yang disahkan positif influenza A.

KPM turut mengarahkan pihak sekolah mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard Pengawalan Penularan Wabak Influenza A yang dikeluarkan dengan sebarang operasi penutupan sekolah hanya akan dibuat setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan.