Larangan merokok: 342 notis dikeluarkan di Negeri Sembilan

Veerapan (dua dari kanan) menunjukkan papan tanda larangan merokok yang diletakkan pada trak makanan.
Veerapan (dua dari kanan) menunjukkan papan tanda larangan merokok yang diletakkan pada trak makanan.
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan mengeluarkan 342 notis membabitkan jumlah kompaun sebanyak RM81,900 dalam tempoh sembilan hari sejak penguatkuasaan larangan merokok di kedai makan dilaksanakan.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, notis mengikut Seksyen 32B di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 itu dikeluarkan hasil pemeriksaan di 6,893 lokasi.

“Daripada jumlah notis berkenaan, 205 notis bagi kesalahan pelanggaran peraturan 11(1)(d) iaitu kesalahan merokok di tempat makan.

“82 notis lagi adalah bagi kesalahan pelanggaran peraturan 12(1)(a) iaitu tanggungjawab tuan punya atau penghuni tempat makan mempamerkan tanda larangan merokok,” katanya pada sidang media di Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan di sini hari ini.

Menurutnya, sebanyak 37 notis bagi kesalahan pelanggaran peraturan 12(1)(b) iaitu tanggungjawab pemilik atau penghuni premis memastikan bahawa tiada yang merokok dan sebanyak 18 notis adalah bagi kesalahan orang belum dewasa merokok.

Beliau berkata, tempat makan kategori restoran menunjukkan paling banyak menerima notis iaitu (250) diikuti gerai makan (69), tempat makan terbuka (7), medan selera (13) dan kedai makan atas tanah lot (2).

"Saya nak ingatkan pemilik gerai makan dan trak makanan serta orang ramai yang mengunjungi lokasi berkenaan turut tidak terkecuali dikenakan tindakan jika didapati tidak mematuhi peraturan ditetapkan.

“Selagi namanya tempat makan, ia adalah lokasi larangan merokok. Pengusaha juga pula perlu pasang papan tanda larangan merokok mengikut spesifikasi ditetapkan oleh kerajaan bagi elak dikenakan tindakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Veerapan (dua dari kanan) menerangkan kepada peniaga makanan tentang penguatkuasaan larangan merokok yang dilaksanakan kerajaan.
Veerapan (dua dari kanan) menerangkan kepada peniaga makanan tentang penguatkuasaan larangan merokok yang dilaksanakan kerajaan.

Selain itu katanya, sebanyak 43 aduan iaitu (31) di Seremban dan (2) di Port Dickson berkaitan larangan merokok di tempat makan diterima

“Saya juga kesal apabila ada individu yang sengaja mencabar kerajaan apabila membuat rakaman video merokok di premis makanan seolah memperlekehkan usaha penguatkuasaan dilaksanakan ini.

“Saya difahamkan video itu dirakam di negeri lain, tetapi jika ia berlaku di Negeri Sembilan, kita tidak teragak-agak untuk ambil tindakan,” katanya.