Qabil Irfan berlumba dalam saingan Kejuaraan Superbike

Qabil Irfan akan berlepas ke Sepanyol bersama bapanya pada Ahad. Foto FB ZK Racing.
Qabil Irfan akan berlepas ke Sepanyol bersama bapanya pada Ahad. Foto FB ZK Racing.
A
A
A

PELUMBA cilik negara, Qabil Irfan Azlan membuka episod baharu dalam karier permotoran apabila akan menyertai Kejuaraan Spanish Superbike (ESBK) dalam kategori Moto4 bersama pasukan Sepanyol, VHC Frando Racing untuk musim penuh tahun ini.

Khabar gembira itu dikongsi oleh pasukan ZK Racing menerusi catatan di laman sosial pada Jumaat.

Kategori Moto4 itu melibatkan pelumba berusia 12 hingga 14 tahun dan akan bersaing di litar-litar sekitar Sepanyol serta Portugal.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan SIC akan memberikan komitmen serta sokongan penuh dalam perjalanan kerjaya perlumbaan Qabil di persada antarabangsa.

Beliau berkata, menerusi platform Moto4, ia akan memberi cabaran kepada kemahiran Qabil Irfan, selain menyumbang kepada pengalaman yang penting untuk dia menghadapi persaingan sengit dalam siri perlumbaan antarabangsa yang akan datang.

"Tahun lepas, Qabil Irfan telah melakar sejarah sebagai pelumba Malaysia pertama yang menjuarai Kejohanan MiniGP (160cc) di Valencia.

"Keyakinan kami terhadap kemahiran serta pengalaman beliau dalam perlumbaan sebelum ini memberi dorongan yang amat positif untuk membimbing Qabil Irfan mencapai kejayaan di persada antarabangsa pada siri perlumbaan tahun ini," katanya.

Qabil Irfan akan berlepas ke Sepanyol bersama bapanya, Azlan Abd Rahman pada Ahad untuk mengikuti ujian pra-musim di Litar Jerez pada 16 dan 17 Mac.

Artikel Berkaitan:

Pelumba itu akan kekal di Jerez sehingga Pusingan Pertama di Circuito de Jerez pada 6 dan 7 April.

Dalam pada itu, Pengurus Pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata, saingan tersebut memberikan peluang buat pelumba berusia 12 tahun itu untuk mendapatkan pengalaman awal dalam suasana serta persaingan dunia dua roda di Eropah.

Beliau berkata, VHC Frando Racing adalah pasukan yang bersedia bekerjasama dengan Qabil Irfan dan mereka mempunyai rekod prestasi yang cemerlang dalam kategori Moto4.

"Saya yakin bahawa pengalaman yang diperoleh Qabil Irfan dalam kejuaraan ini akan menjadi aset yang berharga bagi perkembangannya.

"Kami sebagai pasukan penyokong akan sentiasa bersama Qabil Irfan sepanjang perjalanan ini dan saya akan turut hadir dalam beberapa perlumbaan untuk memantau kemajuannya pada kejohanan ini," katanya.

Moto4 adalah motosikal 'full frame' berkuasa 150cc, rim 17 inci.

Kejuaraan ESBK akan diadakan sepanjang tujuh pusingan dan Qabil Irfan akan turut serta dalam FIM MiniGP Malaysia Series kategori 190cc pada tahun ini.