'Tak kisah kalau orang kata saya memanipulasi wanita'

Azlan
Azlan
A
A
A

PENYANYI Azlan & Typewriter bersedia berdepan kecaman netizen apabila tampil dengan sebuah klip video yang melibatkan sekumpulan wanita seksi dalam iklan produk minuman keluaran syarikatnya, Turbo 3.

Azlan atau nama sebenarnya Nor Azlan Rosle, 37, menyifatkan konsep yang digunakan itu tidak lebih sebagai strategi pemasaran yang biasa digunakan di luar negara, apatah lagi apabila melibatkan produk minuman.

"Saya tahu orang akan mempertikaikan tentang konsep tersebut, tapi kenyataannya ia adalah benda yang biasa digunakan untuk strategi pemasaran.

“Tak kisahlah kalau orang kata saya memanipulasi wanita dan sebagainya kerana itu hak mereka. Bagi saya ia dilakukan untuk menarik orang melihat iklan tersebut dan seterusnya produk yang kami ketengahkan.

“Bayangkan kalau saya yang tampil seksi dalam klip video itu, siapa yang nak tengok? Jadi saya tak kisah sangat tentang apa yang orang nak kata, kerana dah terbiasa dengan cakap-cakap negatif orang sejak mula melibatkan diri dalam dunia seni lagi,” kata Azlan jujur.

Bagaimanapun, penyanyi yang baru sahaja melancarkan single terbaharunya, Kukuh, memberitahu bakal tampil dengan sebuah lagi versi klip video untuk iklan produk yang sama untuk pasaran tempatan.

“Sebenarnya klip video tersebut dihasilkan dengan konsep sebegitu untuk tarikan pasaran luar dan kami akan tampil dengan satu lagi versi untuk pasaran tempatan selepas ini.

“Terpulanglah bagaimana penerimaan orang di luar sana, tetapi saya berharap agar ia tidak mendatangkan apa-apa kesan negatif kepada mana-mana pihak,” kata Azlan yang ditemui di majlis pelancaran single Kukuh dan minuman tenaga Turbo 3 pada Rabu.

Artikel Berkaitan: