Kedah akan semak semula hierarki Mahkamah Syariah

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah akan menyemak semula sistem hierarki Mahkamah Syariah di negeri ini daripada tiga peringkat hierarki kepada empat peringkat.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan akan meneliti untuk menambah satu lagi peringkat mahkamah selepas Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.

"Ini adalah bagi membolehkan pihak-pihak yang berlitigasi mempunyai satu lagi peluang untuk merayu selepas Mahkamah Rayuan Syariah.

"Hal ini juga secara tidak langsung akan memperbaharui kedudukan Hakim-Hakim Syarie ke arah kedudukan yang lebih tinggi daripada semasa,” katanya semasa menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Sultan Kedah di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini pada Khamis.

Beliau berkata, aspek Kehakimah Syariah adalah aspek kehakiman negeri yang perlu terus diperkasa selaras nilai ketinggian dan keadilan Islam.

Katanya, saranan Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah agar penubuhan Mahkamah Syariah diletakkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah akan diteliti segera.

Sultan Sallehuddin ketika bertitah pada Istiadat Perasmian Pembukaan Sidang DUN Kedah Isnin lepas menyarankan kerajaan menyemak semula struktur Mahkamah Syariah seperti sistem hierarki mahkamah itu, supaya memberi lebih ruang keadilan kepada pihak terbabit.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, status terkini projek Lapangan Antarabangsa Kulim (KXP) adalah dalam proses pengaktifan peringkat akhir untuk melengkapkan pendaftaran syarikat tujuan khas (SPV) untuk menguruskan projek itu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kerajaan negeri pada 22 November tahun lepas telah memeterai perjanjian dengan pelabur untuk menubuhkan SPV yang dinamakan Kedah Aerotropolis Holdings Sdn Bhd (KAHSB).

"​Setelah lengkap proses itu, barulah kemasukan dana oleh pelabur yang berjumlah RM2.5 bilion akan dilaksanakan mengikut jadual yang telah dipersetujui,” katanya.

Sidang DUN Kedah kali ini berakhir hari ini dan akan bersidang semula pada satu tarikh yang akan ditentukan kemudian. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28