Penjual ketam direman tiga hari bantu siasatan kes hina Raja Perlis

Seorang lelaki direman tiga hari bagi membantu siasatan kes penghinaan ke atas Raja Perlis melalui laman sosial Facebook.
Seorang lelaki direman tiga hari bagi membantu siasatan kes penghinaan ke atas Raja Perlis melalui laman sosial Facebook.
A
A
A

KANGAR - Seorang penjual ketam direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes penghinaan ke atas Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail melalui laman sosial Facebook.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, perintah reman terhadap lelaki berusia 41 tahun itu dikeluarkan Majistret Ana Rozana Mohd Nor daripada Mahkamah Majistret Kangar.

Yusharifuddin berkata, tangkapan terhadap lelaki itu dilakukan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di Taman Akasia 2, Changlun, Kedah pada jam 1.30 pagi tadi selepas menerima laporan polis daripada seorang lelaki berusia 37 tahun semalam.

"Pengadu telah melayari Facebook dan telah melihat satu posting mengenai penghinaan ke atas Raja Perlis menggunakan akaun Facebook.

"Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, polis juga menerima laporan berhubung perbuatan khianat iaitu kejadian menyimbah cat berwarna merah terhadap sepanduk tertera gambar Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail Selasa lepas.

"Untuk kes simbah cat ini akan disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: