Anwar mulakan lawatan rasmi berturut-turut dari Melbourne ke Canberra

Anwar Ibrahim. Foto Bernama
Anwar Ibrahim. Foto Bernama
A
A
A

CANBERRA - Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas dari Melbourne ke Canberra hari ini yang menjadi sebahagian daripada lawatan rasmi berturut-turut beliau ke Australia atas jemputan rakan sejawatnya Perdana Menteri, Anthony Albanese.

Pesawat khas membawa Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mendarat di Lapangan Terbang Canberra kira-kira jam 12.32 tengah hari waktu tempatan (9.20 pagi waktu Malaysia) bagi memulakan lawatan rasmi selama sehari.

Di Canberra, Anwar yang juga Menteri Kewangan dijadual menyampaikan syarahan umum di Australian National University (ANU).

Seterusnya, Perdana Menteri akan melakukan kunjungan hormat kepada Gabenor Jeneral Komanwel Australia Tuan Yang Terutama Jeneral David Hurley di Government House di sini.

Australia adalah rakan kongsi rapat dan penting bagi Malaysia yang menyaksikan kedua-dua negara menjalin kerjasama erat dalam pelbagai sektor termasuk pendidikan, perdagangan dan pelaburan, pertahanan, keselamatan siber serta sains dan teknologi.

Pada 2023, perdagangan dua hala Malaysia dan Australia berjumlah AS$18.57 bilion (RM84.64 bilion), dengan Australia menjadi rakan dagang ke-10 terbesar bagi Malaysia.

Sehingga Disember tahun lepas, pelaburan diluluskan Australia di Malaysia melibatkan 582 projek, dengan pelaburan yang direalisasikan merangkumi 366 projek.

Sebelum ke ibu kota Australia ini, Anwar mengakhiri lawatan rasmi selama empat hari di Melbourne.

Artikel Berkaitan:

Malah, di Melbourne, beliau mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Tahunan antara Pemimpin Malaysia-Australia Kedua (ALM) pada 4 Mac dan Sidang Kemuncak Khas Asean-Australia yang dihoskan oleh Australia dari 5-6 Mac 2024 bagi memperingati ulang tahun ke-50 Hubungan Dialog Asean-Australia.

Sejurus selesai urusan rasmi di Australia, Perdana Menteri dijadual berlepas pulang ke Malaysia pada petang ini. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28