Tak sempat sediakan kelengkapan sekolah dua anak

Keluarga menuntut mayat mangsa kemalangan di Jabatan Forensik HSI pada Rabu. Gambar kecil: Suresh Kumar
Keluarga menuntut mayat mangsa kemalangan di Jabatan Forensik HSI pada Rabu. Gambar kecil: Suresh Kumar
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki tidak sempat menyediakan kelengkapan persekolahan dua anaknya selepas maut dalam kemalangan di Lebuhraya Pasir Gudang berhampiran Taman Permas Jaya di sini pada malam Selasa.

G Murugan, 45, dan ibunya, M Kullamah, 73, antara tiga mangsa yang terkorban dalam kemalangan membabitkan tiga kereta dan sebuah treler.

Abang mangsa, G Suresh Kumar, 46, berkata, ketika kejadian, adik dan ibunya dalam perjalanan pulang ke kampung mereka di Bahau.

Suresh Kumar yang bekerja di Singapura berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas habis waktu kerja.

"Biasanya ketika kerja saya akan matikan telefon bimbit dan selepas habis waktu kerja, baru saya tahu kejadian yang menimpa adik dan ibu.

"Sepatutnya, saya yang akan membawa ibu pulang ke kampung pada Jumaat ini, namun kerana ada urusan di kampung, adik membawa ibu pulang terlebih dahulu. Tak sangka pula ini yang berlaku," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HSI.

Terdahulu, Suresh Kumar hadir ke HSI bagi menuntut mayat ibu dan adiknya itu untuk dibawa pulang ke kampung bagi urusan pengebumian.

Mendiang Murugan meninggalkan tiga anak yang berusia setahun hingga sembilan tahun.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku selepas sebuah treler dari arah Tanjung Pelepas ke Pasir Gudang terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan.

Katanya, keadaan itu menyebabkan treler berkenaan berada dalam keadaan melintang sebelum bertembung dengan ketiga-tiga kereta yang datang dari arah Pasir Gudang ke Perling.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28