RM50 juta untuk perluasan lorong khas bas - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid mempengerusikan Mesyuarat JKMKKJR, di sini pada Rabu.
Ahmad Zahid mempengerusikan Mesyuarat JKMKKJR, di sini pada Rabu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan meluluskan dan menyalurkan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi pelaksanaan perluasan lorong khas bas.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, jumlah itu termasuk pembelian 100 unit van Demand Response Transit (DRT) di Lembah Klang bermula September depan.

"Hari ini, saya telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR) dan beberapa keputusan penting jangka pendek serta jangka panjang telah diputuskan untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas dan keselamatan jalan raya, khususnya di kawasan-kawasan hotspot kesesakan," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, kajian yang dilaksanakan sejak 3 Julai tahun lalu menunjukkan pelaksanaan lorong khas bas prasarana di Jalan Ampang dan Genting Klang telah menunjukkan respon amat menggalakkan.

"Data menunjukkan, berlaku penjimatan masa sehingga 18 minit bagi perjalanan bas di lokasi dan atas penjimatan tersebut berlaku penambahan jumlah penumpang secara harian sebanyak 20 sehingga 45 peratus," ujar beliau.

Jelas Ahmad Zahid, dengan keberkesanan pengurangan masa perjalanan tersebut, peningkatan kekerapan bas dan jumlah penumpang harian, mesyuarat memutuskan untuk mengekalkan laluan khas bas Jalan Ampang dan Jalan Genting Klang.

"Mesyuarat turut bersetuju memperluaskan laluan bas khas ke Jalan Klang Lama bermula Jun depan serta melaksanakan kajian bagi pelaksanaan lorong bas di Jalan Cheras iaitu Taman Connaught sehingga Jalan Pudu serta Lebuhraya Persekutuan yang melibatkan pusat bandar Kuala Lumpur sehingga persimpangan Shah Alam," katanya.

Beliau berkata, mesyuarat telah memutuskan untuk melaksanakan sistem penyuaraian baharu secara berperingkat untuk lokasi-lokasi kritikal kesesakan setelah mendapatkan makluman daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Artikel Berkaitan:

"Mesyuarat bersetuju untuk PLANMalaysia meneliti cadangan supaya projek-projek pembangunan menggunapakai konsep berasaskan Transit Oriented Development (TOD) sebagai salah satu langkah jangka masa panjang bagi mengurangkan kesesakan jalan raya.

"Ia khususnya di kawasan pembangunan dan pengoperasian stesen ECRL, MRT, LRT dan KTMB," katanya.

Tambah Zahid, mesyuarat turut membincangkan cadangan lain seperti penyuraian trafik Johor Bahru yang dikemukakan oleh kerajaan negeri.

Selain itu, cadangan pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang 7.4km dan penambahan 175 kemudahan hentian bas oleh Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) sepanjang tahun 2024 di kawasan Lembah Klang turut dipersetujui.

"Saya berharap agar inisiatif dan usaha kerajaan ini dapat dilaksanakan sebaiknya mengikut perancangan bagi memastikan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam negara dapat ditingkatkan seterusnya mampu menarik rakyat untuk beralih kepada penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam bagi memenuhi keperluan mobiliti," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!