LSANK laksana kawalan pelepasan air dari empangan hadapi cuaca panas

Mohamad Yusoff
Mohamad Yusoff
A
A
A

ALOR SETAR - Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) telah membuat kawalan pelepasan air dari empangan bagi menstabilkan operasi muka sauk loji rawatan air (LRA) Syarikat Air Darul Aman (SADA) dalam menghadapi cuaca panas berterusan.

Exco Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air serta Sumber Air dan Alam Sekitar negeri, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria berkata, Kedah mempunyai enam empangan utama yang membekalkan bekalan air mentah kepada sektor domestik, industri dan pertanian iaitu Empangan Pedu, Empangan Muda, Empangan Ahning, Empangan Beris, Empangan Bukit Malut dan Empangan Padang Saga.

"Setakat ini, bekalan air di semua empangan masih stabil," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Rabu ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teh Swee Leong (PH-Kota Darulaman) yang ingin mengetahui apakah tindakan kerajaan negeri dalam memastikan sumber air mentah di Kedah mencukupi bagi berhadapan dengan cuaca panas yang berterusan.

Menurutnya, LSANK juga telah memohon kepada Kementerian Peralihan Tenaga Dan Daya Guna Awam bagi cadangan pembangunan kolam takungan air pinggiran sungai (TAPS).

"Terdapat 27 tapak telah dikenalpasti di Kedah yang berpotensi untuk dibangunkan," katanya

Mohamad Yusoff berkata, bagaimanapun pembangunan bagi 27 tapak TAPS dengan keluasan keseluruhan lebih 1,558,960 meter persegi dan menampung air sebanyak 28.03 juta meter padu itu masih belum bermula tetapi telah diluluskan.

"Selain itu, bagi memastikan sumber air mencukupi, Bahagian Bekalan Air (BBA) telah mencadangkan untuk menaiktaraf Empangan Padang Saga, pembinaan TAPS Padang Saga dan pembinaan empangan bawah tanah di Langkawi," katanya.

Menjawab soalan tambahan Kota Darul Aman mengenai keupayaan SADA untuk menampung bekalan air bagi memenuhi permintaan semasa Ramadan dan Aidilfitri tidak lama lagi, beliau berkata, walaupun kos penghantaran air agak tinggi tetapi kerajaan negeri dan SADA sentiasa memastikan pengguna menerima bekalan air secukupnya.

Artikel Berkaitan:

"SADA telah menyediakan 91 lori tangki termasuk lori yang disewa untuk membawa bekalan air kepada pengguna. Takungan air mencukupi tetapi memerlukan sedikit masa, apabila lima LRA itu disiapkan pada 2025, semua masalah air di negeri ini dapat diatasi sepenuhnya.

"Tahun lepas kos penghantaran air hampir RM10 juta tetapi ini menunjukkan keprihatinan Kedah untuk membekalkan bekalan air dan ia membuktikan bahawa sistem kita semakin baik dan bukan meruncing seperti yang didakwa," katanya.

Jelasnya, jumlah pengguna yang terjejas akibat musim kemarau juga adalah sekitar 8,000 akaun sahaja berbanding jumlah keseluruhan 645,000 akaun di Kedah.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28