Isu kadar gaji polis, teknologi solar antara tumpuan Dewan Rakyat

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Isu berkaitan penggunaan teknologi solar di Malaysia, kadar gaji baharu anggota polis serta keberkesanan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam mengesan dan memperoleh semula aset atau wang hasil penipuan antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Young Syefura Othman (PH-Bentong) meminta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan status terkini penggunaan teknologi solar di Malaysia khususnya bagi penggunaan domestik pada sesi soal jawab lisan.

Beliau juga ingin tahu apakah langkah kerajaan untuk menurunkan harga pemasangan solar bagi rakyat yang tidak berkemampuan serta jumlah syarikat yang menawarkan model langganan Kos Modal Sifar bagi rumah kediaman.

Pada sesi sama, Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan kesediaan kerajaan untuk mempertimbangkan kadar gaji baharu anggota polis memandangkan kadar gaji terkini tidak kompetitif dengan keadaan ekonomi semasa dan tidak sepadan dengan tanggungjawab serta peranan mereka menjaga keselamatan negara.

Persidangan Dewan Rakyat juga dijadual membincangkan tahap keberkesanan BNM dalam mengesan dan memperoleh semula aset atau wang hasil pemerdayaan seperti penipuan pelaburan, skim ponzi dan dalam talian yang akan diajukan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) kepada Menteri Kewangan.

Beliau juga meminta kerajaan menyatakan tindakan yang diambil kepada syarikat yang mengelirukan pelabur dengan mendakwa memperoleh lesen dan kelulusan BNM.

Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) pula meminta Menteri Pendidikan menyatakan tindakan kementerian berikutan prestasi merosot Malaysia dalam Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022 bagi skor Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Usai sesi itu, persidangan diteruskan dengan menyambung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan takwim dalam laman sesawang rasmi Parlimen, persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 19 hari dengan perbahasan Titah Diraja oleh Ahli-ahli Parlimen dari 27 Feb hingga 7 Mac diikuti jawapan daripada kementerian berkaitan selama empat hari bermula 11 Mac.

Pembentangan serta perbahasan rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain akan diadakan pada 18 hingga 27 Mac. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28