Bilal putih mata simpanan RM12,000 lesap

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

HULU SELANGOR - Seorang bilal masjid berputih mata apabila wang berjumlah RM12,000 dalam akaun Tabung Haji miliknya didakwa dipindah tanpa kebenaran pada Februari lalu.

Timbalan Ketua Polis Hulu Selangor, Deputi Superintenden Mohd Asri Mohd Venus berkata, laporan dibuat mangsa pada 26 Februari lalu melibatkan kes wang simpanan Tabung Haji yang didakwa berkurangan.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati mangsa menerima satu pesanan ringkas dari Tabung Haji menyatakan terdapat pemindahan wang melibatkan akaun miliknya ke akaun bank individu lain.

"Semakan dilakukan mendapati terdapat satu transaksi pemindahan wang sebanyak RM3,000 pada 20 Februari dan dua kali transaksi berjumlah RM1,000 dan RM2,000 pada 21 Februari.

"Semakan dilakukan turut mendapati terdapat satu transaksi berjumlah RM3,000 pada 22 Februari serta satu transaksi berjumlah sama pada 23 Februari," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Katanya, siasatan mendapati mangsa tidak pernah menekan mana-mana pautan laman sesawang atau melayari aplikasi Tabung Haji dalam talian.

"Kertas siasatan telah dibuka berkaitan kes ini dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh menyalurkannya dengan menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Mejar Ahmad Zuperi di talian 03- 60641222 untuk membantu siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!