Kerajaan belum cadang laksana semula GST - Amir Hamzah

Kerajaan belum bercadang untuk melaksanakan semula GST. Gambar fail Bernama
Kerajaan belum bercadang untuk melaksanakan semula GST. Gambar fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan mengulangi pendirian belum bercadang melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) memandangkan ia bukan masa yang sesuai untuk berbuat demikian.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira tahap pendapatan dan beban kos sara hidup yang ditanggung rakyat.

“Seperti yang pernah dijelaskan oleh (Ahli Parlimen) Tambun (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dalam dewan mulia ini bahawa pelaksanaan pembaharuan fiskal, kerajaan mengambil pendekatan yang progresif serta konteks subsidi bersasar dan percukaian.

“Jadi (buat masa ini) kerajaan belum bercadang untuk melaksanakan GST lagi kerana ia bersifat cukai penggunaan yang berasaskan luas dan dengan itu bukanlah masa sesuai untuk memperkenalkan semula,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) yang membangkitkan persoalan sama ada kerajaan bersedia melaksanakan semula GST.

Kerajaan pada Rabu lalu mengumumkan kenaikan cukai perkhidmatan kepada lapan peratus berbanding enam peratus sebelum ini berkuat kuasa pada 1 Mac lepas.

Bagaimanapun, peningkatan tersebut tidak melibatkan perkhidmatan yang menjadi keperluan asas serta sebahagian daripada gaya hidup rakyat di negara ini.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, kerajaan juga akan terus mengutamakan usaha menambah baik kadar cukai sedia dan memperkenalkan percukaian yang tidak memberi kesan langsung kepada golongan rentan.

Artikel Berkaitan:

Justeru katanya, bagi memenuhi keperluan meningkatkan hasil negara, kerajaan telah mengambil pendekatan berperingkat dengan meluaskan asas cukai kepada mereka yang mempunyai lebih kemampuan terlebih dahulu.

“Secara dasarnya, apa-apa keputusan kerajaan akan memastikan sebarang langkah cukai yang dilaksanakan tidak memberi kesan langsung kepada golongan rentan dan kebajikan mereka akan terus dilindungi,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!