'Sepatutnya fikir cara tingkatkan kualiti penjawat awam' - UMNO Kedah

Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan perlu memikirkan cara bagi meningkatkan lagi kualiti dan faedah penjawat awam bukannya semata-mata memberi tumpuan kepada menambah kemasukan kaum Cina sebagai penjawat awam.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, tindakan galakkan kerajaan untuk meningkatkan kemasukan kaum Cina kononnya minat mereka kurang untuk menjadi penjawat awam.

“Jika kaum Cina sendiri sudah memilih untuk tidak menjadi penjawat awam, buat apa hendak galakkan? Adakah kaum Melayu tidak boleh buat kerja? Adakah pejabat kementerian tidak boleh beroperasi? Adakah pentadbiran kerajaan sangat terganggu?

“Sepatutnya kerajaan memikirkan cara untuk meningkatkan lagi kualiti penjawat awam dengan menawarkan lagi faedah-faedah yang lebih banyak supaya penjawat awam lebih bersemangat untuk bekerja,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut Shaiful Hazizy yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok, saranan dan galakkan ini dianggap pelik dan aneh.

“Kalaulah kita peka dengan isu dan sentimen semasa, kaum Cina lebih gemar untuk menyertai syarikat swasta kerana tawaran gaji yang lebih tinggi berbanding dengan kaum lain walaupun dengan kelayakan dan pengalaman yang sama.

“Berdasarkan statistik Upah Pekerja Suku Pertama Sektor Formal yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kaum Cina mendahului median upah gaji bulanan tertinggi iaitu RM4,000 pada Mac lalu berbanding etnik lain.

“Kaum India pula di tempat kedua dengan median upah bulanan iaitu RM2,500 dan yang sedihnya kaum bumiputera hanya RM2,000, dan statistik itu merangkumi 6.45 juta pekerja formal,” ujar beliau lagi.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, gaji permulaan bagi kaum Cina juga lebih tinggi berbanding kaum lain dan merupakan kaum yang paling tinggi median gaji bagi lepasan siswazah dengan hampir RM3,500 berbanding kaum lain yang rata-rata RM 2,000 hingga RM2,500.

Pada Sabtu Sinar Harian melaporkan kempen menggalakkan lebih ramai kaum Cina untuk menyertai perkhidmatan awam akan diadakan di seluruh negara bermula di Melaka pada Ahad.

Memetik laporan Sin Chew Daily, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Chan Ming Kai berkata, kempen itu diadakan berikutan jumlah kaum Cina yang berminat untuk menjadi penjawat awam rendah.

Katanya, semasa kempen itu berlangsung penjawat awam Cina akan berkongsi pengalaman kerja dengan mereka yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada kakitangan awam.

“Kempen itu dianjurkan bersama oleh pejabat setiausaha politik Perdana Menteri dan Media Chinese International Limited.

"Ia diadakan di seluruh negara antaranya di Kuantan pada 16 Mac, diikuti Petaling Jaya, Segamat, Muar, Johor Bahru, Pontian, Kluang, Ipoh, Taiping, Teluk Intan, Butterworth dan Kangar,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28