Aaron Bushnell, penentang perang genosid di Gaza

Beberapa pihak melihat kematian Bushnell bakal memberikan mesej penting kepada kelas politik AS.
Beberapa pihak melihat kematian Bushnell bakal memberikan mesej penting kepada kelas politik AS.
A
A
A

WASHINGTON - Tindakan nekad anggota tentera udara Amerika Syarikat (AS) membakar dirinya di hadapan Kedutaan Israel pada minggu lalu sambil melaungkan 'Bebaskan Palestin' seakan-akan mewakili suara komuniti global ketika ini.

Kisah Aaron Bushnell, 25, yang menentang perang genosid di Genting Gaza mendapat liputan meluas media dan mencetuskan gelombang sokongan pro-Palestin di AS.

Sebelum melakukan tindakan itu, Bushnell dengan tegas menyatakan dia enggan lagi mahu terlibat dengan pembunuhan beramai-ramai ke atas orang awam tidak berdosa di Gaza.

Menerusi video yang disiarkan secara langsung di platform Twitch, dia yang lengkap mengenakan pakaian seragam tentera bertindak memperkenalkan dirinya dan mengakui masih berkhidmat dalam pasukan tentera.

Bushnell turut menghantar e-mel kepada sejumlah wartawan, gerakan haluan kiri dan laman web anarkis sebelum insiden menggemparkan itu.

“Hari ini, saya menzahirkan kesungguhan untuk membantah genosid ke atas penduduk Palestin,” menurut kandungan e-mel tersebut.

Siapakah individu tersebut? Apakan kaitannya dengan Palestin sehingga sanggup bertindak sedemikian walaupun dia sedar perbuatan itu boleh meragut nyawanya.

Bushnell merupakan rakyat tempatan dari San Antonio, Texas dan dibesarkan di Whitman, Massachusetts.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, pasukan Tentera Udara AS enggan mengesahkan butiran tentang perkhidmatan atau pangkatnya yang sebelum ini bertugas di pangkalan tentera udara Lackland di San Antonio setelah menyertai pasukan tersebut pada Mei 2020.

Ia bukanlah pertama kali kejadian seumpama itu di AS setelah negara itu menjadi penyokong kuat operasi ketenteraan rejim Zionis di Gaza.

Pada Disember lalu, seorang penunjuk perasaan wanita juga membakar dirinya di hadapan misi diplomatik Israel di negeri Georgia setelah Perang Gaza semakin ganas.

Pihak berkuasa turut menemui bendera Palestin di lokasi berkenaan.

Dedah rahsia tentera AS?

Sehari sebelum kematiannya, Bushnell dikatakan berkongsi maklumat sulit tentang penglibatan tentera AS dalam pertempuran di terowong rahsia milik pejuang Hamas di Gaza.

Pendedahan itu dibuat rakan kepada pakar operasi pertahanan siber dengan Skuadron Sokongan Perisikan ke-531 berkenaan.

“Dia memberitahu saya bahawa terdapat askar AS yang terlibat dalam operasi tersebut dan membunuh sejumlah besar penduduk Palestin. Saya percaya dengan apa yang dikatakannya kerana tugas Bushnell adalah memproses data risikan yang sebahagian daripadanya tentang konflik Gaza

“Banyak perkara yang saya tidak tahu. Tetapi, apa yang saya boleh sahkan nada suaranya pada masa itu jelas seperti dalam ketakutan

“Membunuh diri bukanlah jalan singkat yang akan diambil olehnya. Sepanjang mengenalinya, Bushnell adalah seorang yang tenang dan penyayang,” ujar individu tersebut yang identitinya tidak didedahkan.

Pembongkaran rakannya itu bagaimanapun bertentangan dengan kenyataan Rumah Putih yang mengesahkan ia tidak akan mengerahkan pasukan tentera mereka untuk bertempur di Gaza.

Menurut laporan New York Times (NYT), penempatan anggota tentera AS di Tel Aviv hanyalah untuk mengenal pasti tawanan.

Beberapa hari selepas kematiannya, rakaman yang menjadi tular di media sosial memaparkan beberapa veteran perang Amerika membakar pakaian seragam masing-masing sebagai tanda penghormatan kepada Bushnell.

Gelombang sokongan pro-Palestin terus menyaksikan peningkatan selepas tindakan nekad anggota tentera udara tersebut.
Gelombang sokongan pro-Palestin terus menyaksikan peningkatan selepas tindakan nekad anggota tentera udara tersebut.

Klip itu menunjukkan beberapa individu membuang uniform mereka ke dalam tong sampah yang terbakar sambil melaungkan slogan, 'Aaron Bushnell dalam kenangan, dia tidak keseorangan'.

Selain itu, terdapat juga sepanduk besar yang tertera, 'Tuntutan Veteran: Bebaskan Palestin'.

Sejak Operasi Taufan al-Aqsa dilancarkan Hamas pada 7 Oktober lalu, AS telah menyumbangkan sokongan politik, ketenteraan dan maklumat risikan yang tidak berbelah bahagi kepada Israel untuk melakukan perang genosid di Gaza.

Washington turut mempersenjatai rejim Zionis dengan lebih 10,000 tan perkakasan tentera sejak bermulanya perang yang kini menjadi kempen pembersihan etnik di wilayah tersebut dan situasi semakin tidak terkawal akibat kegilaan tentera Israel yang semakin galak membunuh penduduk Palestin.

Sepanjang lima bulan lalu, pentadbiran Presiden Joe Biden turut memveto tiga resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang menuntut kempen pencerobohan di Gaza dihentikan segera. - Agensi