Dua parah, bas ekspres bawa 20 penumpang terbabas dalam parit

Bas ekspres membawa 18 penumpang terlibat kemalangan dengan kenderaan pacuan empat roda di Lebuhraya Ipoh-Lumut dekat Changkat Cermin, Manjung pada Ahad. JBPM Perak
Bas ekspres membawa 18 penumpang terlibat kemalangan dengan kenderaan pacuan empat roda di Lebuhraya Ipoh-Lumut dekat Changkat Cermin, Manjung pada Ahad. JBPM Perak
A
A
A

IPOH - Pemandu bas dan seorang penumpang cedera parah dalam nahas melibatkan sebuah bas ekspres dan kenderaan pacuan empat roda di Lebuhraya Ipoh-Lumut dekat Changkat Cermin, Manjung, kira-kira 62 kilometer dari sini pada Ahad.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, bas ekspres dalam perjalanan dari Lumut ke Ipoh itu terbabas ke dalam parit di bahu jalan.

Nahas tersebut membabitkan 22 mangsa iaitu pemandu bas berusia 41 tahun, 20 penumpang berusia antara 17 hingga 63 tahun dan pemandu Toyota Hilux berusia 63 tahun.

Katanya, seorang penumpang bas dan pemandu bas cedera parah manakala 19 penumpang dan pemandu kereta Toyota Hilux cedera ringan.

Menurutnya, sepasukan anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berkaitan kejadian pada jam 5.38 petang.

"Tiada mangsa yang tersepit, bagaimanapun terdapat dua mangsa iaitu pemandu lelaki bas ekspres dan seorang penumpang wanita mengalami kecederaan parah," katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut Sabarodzi, anggota bomba turut memberi perawatan awal kepada mangsa yang mengalami kecederaan parah dengan dibantu pegawai perubatan.

"Pemandu Toyota Hilux hanya mengalami kecederaan ringan dan kedua-dua mangsa yang parah kemudiannya dihantar ke Hospital Seri Manjung menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Manjung dan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM).

"Semua mangsa yang mengalami kecederaan ringan turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 7.17 malam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Mohamed Nordin Abdullah berkata siasatan awal mendapati Toyota Hilux yang juga dari Lumut menuju ke Ipoh menukar lorong secara melulu.

"Kenderaan Toyota Hilux berada di lorong kanan sebelum mengubah haluan ke kiri secara tiba-tiba untuk ke lorong kiri (ke arah laluan bas ekspres).

"Tindakan itu menyebabkan pemandu bas ekspres tidak sempat menekan brek lalu gagal mengawal kenderaan dan kemudian terbabas," katanya ketika dihubungi.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28