Dividen KWSP: Pencapaian baik, perbezaan aras lebih rendah 0.1 peratus

Amir Hamzah (kanan) beramah mesra bersama warga emas yang juga penerima bantuan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di kaunter pendaftaran MyKasih di Pasaraya TF Value hari ini. - Foto: Bernama
Amir Hamzah (kanan) beramah mesra bersama warga emas yang juga penerima bantuan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di kaunter pendaftaran MyKasih di Pasaraya TF Value hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

TAPAH - Agihan dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang baharu diumumkan pada Ahad menyaksikan jurang perbezaan aras lebih rendah antara simpanan konvensional dan simpanan syariah.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, jurang antara kedua-dua simpanan itu sedikit melebar pada 2022 iaitu 0.6 peratus dan berjaya dikecilkan mencapai 0.1 tahun 2023.

Menurutnya, jurang yang lebih rapat itu merupakan satu pencapaian yang amat memberangsangkan selepas beberapa penambah baikan dilakukan.

"Dari segi pencapaiannya, bagi saya sangat baik dan elok kerana kita nampak jurang antara skim konvensional dan syariah telah berkurangan.

"Daripada lebih 0.6 peratus, tahun ini (2023) hanyalah 0.1 peratus," katanya kepada pemberita selepas meninjau Program Rintis Penunaian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2024 bagi masyarakat Orang Asli daerah Batang Padang di Hutan Lipur Kuala Woh di sini pada Ahad.

Sempena lawatan itu, Amir Hamzah turut meninjau pelaksanaan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di kaunter pendaftaran MyKasih di Pasaraya TF Value di sini.

KWSP sebagai satu dana persaraan tertua dan terbesar di dunia mengumumkan agihan dividen 2023 sebanyak 5.5 peratus untuk simpanan konvensional dan 5.4 peratus untuk simpanan syariah.

Angka tersebut membabitkan agihan sejumlah RM50.3 bilion bagi konvensional manakala RM7.5 bilion untuk syariah.

Artikel Berkaitan:

Amir Hamzah berkata, pengagihan dividen 5.5 peratus dan 5.4 peratus itu masih antara yang tertinggi dalam negara ketika ini dan tetap memberi pulangan besar kepada pencarum.

"Kita harap ahli-ahli KWSP gembira dengan agihan ini yang telahpun dimasukkan ke dalam akaun bermula hari ini.

"Mesej kerajaan jelas bahawa simpanan zaman persaraan adalah penting, seperti KWSP, lebih lama kita simpan, lebih banyak pulangan yang diterima dan cukup untuk kita apabila bersara nanti," katanya.