Syarikat pengeluar sarung tangan didenda RM20,000 lepas efluen

Sebuah syarikat pengeluar sarung tangan di Kawasan Perindustrian Padang Meha, Padang Serai didapati melepaskan efluen ke longkang pada tahun lepas. - Foto: JAS Kedah
Sebuah syarikat pengeluar sarung tangan di Kawasan Perindustrian Padang Meha, Padang Serai didapati melepaskan efluen ke longkang pada tahun lepas. - Foto: JAS Kedah
A
A
A

KULIM - Mahkamah Sesyen Kulim menjatuhkan hukuman denda RM20,000 terhadap sebuah syarikat pengeluar produk sarung tangan atas satu kesalahan berkaitan pencemaran air pada Ahad.

Hakim Mahkamah Sesyen Kulim, Mirza Mohamad menjatuhkan hukuman terbabit selepas pengurus yang mewakili syarikat berkenaan selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Kesalahan itu dilakukan antara jam 9 hingga 10.25 pagi pada 23 Mei tahun lepas di premis yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Padang Meha, Padang Serai.

Syarikat terbabit didapati telah melepaskan efluen perindustrian ke dalam longkang awam dengan kandungan Keperluan Oksigen Kimia (COD) mempunyai kepekatan sebanyak 1280 mg/L (miligram per liter) melebihi had 80 mg/L.

Bagi kesalahan itu, syarikat didakwa mengikut Peraturan 12(a), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 32 Peraturan yang sama.

Berdasarkan fakta kes, pasukan penguat kuasa Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah telah menjalankan lawatan penguatkuasaan Akta Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-peraturan di bawahnya di syarikat berkenaan pada hari kejadian.

Semasa pemeriksaan, persampelan efluen perindustrian yang keluar dari Takat Pelepasan Terakhir Sistem Pengolahan Perindustrian Efluen(SPEP) milik syarikat telah dilakukan pegawai-pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah (Cawangan Kulim) untuk memastikan efluen dilepaskan itu mematuhi had-had ditetapkan dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Pengurus syarikat merayu hukuman ringan dikenakan dengan alasan pihaknya sedang dalam proses menaiktaraf keupayaan Sistem Pengolahan Perindustrian Efluen(SPEP) agar kejadian seperti ini tidak akan berulang pada masa hadapan.

Artikel Berkaitan:

Syarikat juga pernah disabitkan di Mahkamah yang sama dan dihukum dengan denda RM10,000 pada 12 Oktober 2021 bagi kesalahan di bawah Peraturan 4(2) Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 iaitu melakukan perubahan terhadap Sistem Pengolahan Perindustrian Efluen(SPEP) tanpa mengemukakan pemberitahuan bertulis kepada JAS.