Inovasi digital bagi lindungi, pulihara fauna dan flora

Nik Nazmi. Foto fail Bernama
Nik Nazmi. Foto fail Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kepentingan inovasi digital dan inisiatif untuk menggalakkan penggunaannya akan terus diperkukuh dalam melindungi serta memulihara fauna dan flora liar yang merupakan khazanah negara yang amat berharga.

Dalam perutusan sempena Hari Hidupan Liar Sedunia hari ini, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tema sambutan tahun ini ialah "Connecting People and Planet: Exploring Digital Innovation in Wildlife Conservation”.

"Tema ini dipilih bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan inovasi digital dalam usaha mengukuhkan konservasi fauna dan flora liar termasuk aspek penyelidikan, komunikasi, pengesanan dan analisis asid deoksiribonukleik (DNA) secara lebih mudah, cepat dan berkesan," katanya.

Nik Nazmi berkata, dalam aspek hidupan liar, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) telah mengambil inisiatif untuk meneroka penggunaan teknologi antaranya melalui penggunaan perangkap kamera yang dilengkapi dengan kecerdasan buatan (AI) bagi memantau spesies hidupan liar.

Selain itu, penggunaan pesawat tanpa pemandu (UAV) seperti dron untuk memantau kehadiran dan pergerakan hidupan liar dan penggunaan satelit bagi pembangunan sistem amaran awal.

Nik Nazmi berkata, selain memastikan kelangsungan hidup Harimau Malaya di habitat semula jadi (in-situ), konservasi ex-situ adalah kritikal kerana populasi haiwan itu di habitat semula jadi adalah sangat rendah.

Beliau berkata, Perhilitan telah memperkasakan Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan dengan perolehan peralatan makmal berteknologi tinggi untuk meningkatkan kapasiti forensik, konservasi ex-situ, biobanking, Sistem Pengurusan Maklumat Makmal (LIMS) dan pengawasan penyakit zoonotik.

"Pendekatan ini boleh meningkatkan pelaksanaan program pembiakan secara aruhan (ART) bagi membantu menambahkan populasi Harimau Malaya dalam kurungan melalui kaedah permanian beradas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam aspek pengurusan hutan pula, Nik Nazmi berkata, NRES melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) telah memanfaatkan penggunaan teknologi seperti Sistem Pemantauan Hutan Menggunakan Remote Sensing (FMRS) bagi mengesan sebarang perubahan yang berlaku di dalam Hutan Simpanan Kekal di Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata, Jabatan Perhutanan Sabah dengan kerjasama Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) telah membangunkan sistem iForSabah dengan menggunakan imej satelit sebagai langkah pemantauan jarak jauh bagi mengesan sebarang perubahan yang berlaku dalam kawasan hutan simpan di Sabah.

Sementara itu, Jabatan Hutan Sarawak telah membangunkan Sistem Pengawasan Berterusan (COMOS) yang menggabungkan analisis imej satelit dan menentusahkan titik koordinat dengan

menggunakan sistem cerapan udara hiperspektral bagi membantu tindakan penguatkuasaan di lapangan. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28