Penumpang cemas kereta api rempuh penghadang hujung landasan

Penghadang hujung landasan rosak akibat dirempuh kereta api di Stesen Sembulan, Kota Kinabalu.
Penghadang hujung landasan rosak akibat dirempuh kereta api di Stesen Sembulan, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Penumpang kereta api yang dalam perjalanan dari Beaufort ke Sembulan berdepan detik cemas apabila kenderaan tersebut merempuh penghadang hujung landasan dan dinding pagar dalam kejadian di Stesen Sembulan di sini pada pagi Sabtu.

Bagaimanapun, dalam kejadian jam 7.08 pagi itu, kesemua penumpang dan kakitangan yang bertugas tidak mengalami sebarang kecederaan selain tidak mendatangkan kerosakan kepada gerabak tersebut.

Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, kejadian berlaku ketika kereta api yang mempunyai empat gerabak membawa penumpang dari Beaufort ke Sembulan.

Penghadang hujung landasan rosak akibat dirempuh kereta api di Stesen Sembulan, Kota Kinabalu.
Penghadang hujung landasan rosak akibat dirempuh kereta api di Stesen Sembulan, Kota Kinabalu.

"Semasa menghampiri Stesen Sembulan, jentera Lokomotif 7001 mengalami masalah teknikal, di mana sistem angin mengalami kerosakan dengan tiba-tiba dan menyebabkan sistem brek jentera tersebut tidak dapat berfungsi dengan baik.

"Ini menyebabkan jentera tersebut terpaksa merempuh penghadang di hujung landasan kereta api dan dinding pagar di Stesen Sembulan namun insiden ini tidak mendatangkan sebarang kerosakan kepada empat gerabak penumpang yang terlibat, serta tidak menyebabkan sebarang kecederaan kepada penumpang dan kakitangan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu turut berkata, empat gerabak yang terlibat telah ditarik menggunakan lokomotif lain dan meneruskan perjalanan untuk perkhidmatan lain yang telah dijadualkan.

"Setakat ini, tidak ada perkhidmatan lain yang terjejas disebabkan insiden tersebut. Bagaimanapun Lokomotif 7001 telah terkeluar daripada landasan dan mengalami kerosakan pada beberapa komponen termasuk sistem brek.

Artikel Berkaitan:

"Kerja menaikkan Lokomotif 7001, pembaikan penghadang dan rel yang putus serta pembaikan dinding pagar stesen yang roboh akan dilaksanakan segera berpandukan peraturan sedia ada," katanya.

Jelas beliau lagi, siasatan lanjut berhubung perkara itu juga akan dibuat bagi mengelakkan insiden sama berulang pada masa hadapan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!