Larian 5km di ladang, Ehsan SFV Fun Run bawa kelainan

Amirudin (kiri) pada pelepasan Ehsan SFV Fun Run di Jalan Rawang, Bestari Jaya, Kuala Selangor pada Sabtu.
Amirudin (kiri) pada pelepasan Ehsan SFV Fun Run di Jalan Rawang, Bestari Jaya, Kuala Selangor pada Sabtu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Ehsan Selangor Fruit Valley (SFV) Fun Run berlangsung meriah dengan penyertaan kira-kira 800 peserta pada Sabtu.

Lebih menarik, program larian sejauh lima kilometer yang dianjurkan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu diadakan di dalam ladang SFV, di Jalan Rawang, Bestari Jaya.

Ketua Pegawai Eksekutif PKPS, Dr Mohamad Khairil Mohd Razi berkata, program larian yang unik dan menarik itu memberikan pengalaman berbeza kepada peserta.

"Biasanya peserta fun run berlari di atas jalan tar, tetapi kita tawarkan kelainan kerana mereka perlu melalui ladang yang dipenuhi dengan pokok kelapa dan tanaman buah-buahan dengan pemandangan semula jadi," katanya ketika ditemui selepas program itu pada Sabtu.

Mohamad Khairil memberitahu, selain kelainan pada program larian, pihaknya menyediakan hadiah cabutan bertuah berbeza daripada biasa.

"Kita tidak menawarkan hadiah seperti jam pintar atau pun komputer riba, sebaliknya menyediakan dua ekor kambing dan tiga pasangan arnab sebagai hadiah utama," tambah beliau.

Amirudin (empat dari kiri) dan Mohamad Khairil (dua dari kiri) pada pelancaran Dapur Ehsan pada Ehsan SFV Fun Run di Jalan Rawang, Bestari Jaya pada Sabtu.
Amirudin (empat dari kiri) dan Mohamad Khairil (dua dari kiri) pada pelancaran Dapur Ehsan pada Ehsan SFV Fun Run di Jalan Rawang, Bestari Jaya pada Sabtu.

Beliau memberitahu, kelainan ditampilkan itu dilakukan bagi menarik minat peserta untuk merasai sendiri pengalaman semasa berada di SFV.

Artikel Berkaitan:

"Kami sebenarnya menerima jumlah penyertaan hampir 1,000 peserta, namun terpaksa mengehadkan bilangan yang terlalu ramai.

"Kita bercadang untuk mengadakan program ini secara tahunan dan memanjangkan lagi jarak larian," kata Mohamad Khairil

Jelas beliau, program itu dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan turut dihadiri Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim dan Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri, Mohd Najwan Halimi.

Dalam pada itu, katanya, jumlah pengunjung di SFV ketika ini mencecah sehingga 600,000 setahun.

"Bilangan pelawat meningkat terutama pada cuti sekolah iaitu sehingga 3,000 pengunjung sehari pernah dicatatkan," tambah beliau.

Selain itu katanya, terdapat tarikan baharu ditawarkan kepada pengunjung SFV antaranya menyediakan hidangan panas menerusi produk 'Dapur Ehsan'.

Katanya, Dapur Ehsan mula diperkenalkan dengan konsep baharu yang melibatkan penggunaan internet kebendaan (IoT) dan digital chef untuk memasak makanan.

Katanya, Dapur Ehsan yang beroperasi pada 25 Februari lalu itu dirasmikan Amirudin dan dijangka menjadi tarikan utama kepada pengunjung.

Sebahagian peserta menyertai Ehsan SFV pada Sabtu.
Sebahagian peserta menyertai Ehsan SFV pada Sabtu.

"Dengan adanya inovasi ini, diharapkan program Dapur Ehsan akan terus berkembang dan dengan kos bersesuaian mungkin kita boleh wujudkan makanan Rahman menggunakan program Dapur Ehsan ini," kata beliau.

Sementara itu, Amirudin berkata, program larian dianjurkan itu adalah sebahagian daripada usaha untuk mempromosikan beberapa produk dan pembaharuan yang dilakukan PKPS.

Ujar Amirudin, dengan pelbagai aktiviti pertanian dan pembaharuan yang dilakukan, SFV kini semakin menarik minat pengunjung.

"Salah satu produk terbaru yang diperkenalkan di SFV adalah Dapur Ehsan yang bukan sekadar dapur biasa, namun ia dilengkapi dengan teknologi IoT dan konsep dapur pintar.

"Hal ini diharapkan akan memberikan pengalaman unik dan menarik kepada pengunjung SFV," kata beliau.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28