THT sedia 'repeat' berdepan Liaoning

Status naib juara MHL 2024 menjadi azimat kepada THT untuk tampil lebih cemerlang berdepan Liaoning Hockey Club. Gambar kecil: Mohd Harfizi
Status naib juara MHL 2024 menjadi azimat kepada THT untuk tampil lebih cemerlang berdepan Liaoning Hockey Club. Gambar kecil: Mohd Harfizi
A
A
A

NAIB juara Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024, Terengganu Hockey Team (THT) tekad meneruskan momentum positif liga apabila berdepan Liaoning Hockey Club dalam aksi suku akhir Piala TNB di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Malah, pengendali THT, Mohd Harfizi Baharom berkata, pemain-pemain kelab berpangkalan di Terengganu itu bermotivasi untuk perlawanan ulangan menentang kelab dari China tersebut.

“Saya akui anak-anak buah berdepan tentangan sengit pada perlawanan liga tempoh hari biarpun THT menang 5-2.

“Untuk fasa kalah mati Piala TNB, kami tidak akan mengambil mudah cabaran lawan, sebaliknya akan mulakan dengan penambahbaikan dan semangat baharu.

"Segala analisa telah dilakukan untuk persediaan berdepan lawan. Insya-ALLAH, pemain-pemain sudah bersedia untuk berdepan cabaran Liaoning terutamanya aspek fizikal mereka," katanya.

Mengenai persembahan keseluruhan THT kempen Liga MHL, Mohd Harfizi berkata: “Pemain-pemain THT bermain sangat baik sepanjang liga tempoh hari.

“Walaupun tanpa tonggak import serta kehilangan beberapa tonggak utama, pemain mengambil positif perkara tersebut, malah mereka sentiasa berusaha untuk menyaingi pasukan-pasukan hebat.

“Alhamdulillah, pasukan THT juga tiada berdepan masalah kecederaan sepanjang saingan liga.”

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28