Atlet muda Pahang raih emas di Australia

Muhammad Thaqif (dua dari kiri) meraih pingat emas dalam acara lompat tinggi bawah 14 tahun di Kejohanan WA State Track & Field Championship 2024 di Perth, Australia, baru-baru ini.
Muhammad Thaqif (dua dari kiri) meraih pingat emas dalam acara lompat tinggi bawah 14 tahun di Kejohanan WA State Track & Field Championship 2024 di Perth, Australia, baru-baru ini.
A
A
A

ATLET muda kelahiran Pahang, Muhammad Thaqif Ukasyah Mohd Rady, 13, mencipta sensasi apabila meraih emas dalam acara lompat tinggi bawah 14 tahun dalam Kejohanan WA State Track & Field Championship 2024 di Perth, Australia baru-baru ini.

Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Tuanku Fatimah, Bentong itu berjaya mencatatkan 1.65 meter (m) menewaskan atlet lain dalam kejohanan tersebut.

Anak kedua daripada tiga beradik itu juga membawa pulang perak bagi acara 90 meter lari berpagar.

"Saya memang yakin bawa pulang emas dalam acara lompat tinggi berdasarkan rekod peribadi terbaik, 1.75m yang dicatatkan di Innotex di Bukit Jalil baru-baru ini.

"Selepas ini saya berazam untuk memperbaiki lagi catatan dan mengharumkan nama negara selain impian berentap di Olimpik suatu hari nanti," katanya yang bakal memasuki Sekolah Sukan Bukit Jalil, Mac depan.

Dengan ketinggian 1.80m, atlet muda itu sebelum ini aktif dalam sukan bola sepak di posisi penjaga gol.

Pernah aktif dalam sukan bola sepak kini Muhammad Thaqif beralih angin ke acara olahraga.
Pernah aktif dalam sukan bola sepak kini Muhammad Thaqif beralih angin ke acara olahraga.

Dia juga pernah terpilih memasuki Akademi Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk bawah 12 tahun namun memilih acara olahraga ketika berusia 11 tahun di bawah kendalian jurulatih, Azrani Jusoh.

Artikel Berkaitan:

"Saya kini memberikan tumpuan untuk acara olahraga dan berharap dapat pergi lebih jauh selepas ini," tambahnya.

Sementara itu, ibu Muhammad Thaqif, Rosma Alias, 43, memberitahu, dia dan suaminya memberikan sokongan penuh terhadap minat dan kelebihan yang dimiliki anaknya.

"Memang tak sangka juga sebab baru beberapa tahun dia aktif dalam olahraga sudah dapat mewakili Pahang dan seterusnya negara.

"Kami berharap dia dapat pergi lebih jauh dan seterusnya dapat mengharumkan nama negara," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28