Anggota Kabinet terlibat rasuah wajib digugurkan - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Sidang Kemuncak Anti-Rasuah Kebangsaan (NAC SUMMIT) 2024 di sebuah hotel pada Khamis. Foto Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Sidang Kemuncak Anti-Rasuah Kebangsaan (NAC SUMMIT) 2024 di sebuah hotel pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis menegaskan bahawa mana-mana anggota Kabinet di bawah pimpinannya yang didapati terlibat dengan salah laku rasuah, wajib digugurkan daripada jawatan mereka.

Beliau berkata, tindakan itu bagi menyelamatkan negara daripada gejala rasuah, dan beliau juga telah mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengambil tindakan terhadap jemaah Menteri yang didapati terlibat dengan salah laku itu.

"Sudah setahun lebih kita memerintah... banyak diserang, tetapi saya tanya di Parlimen dan di luar Parlimen beri satu bukti menteri, perdana menteri sekarang kalau mereka ada rasuah, dan kalau ada, kita siasat, dakwa dan ikut badan kehakiman - hukum.

"Namun tidak ada, dan (selepas) setahun tiga bulan saya ‘tabik’ dengan rakan-rakan, kita boleh beri imej rakan kepimpinan yang bersih daripada rasuah, dan ingatan itu jelas.

"...kalau ada (rasuah), saya akan kata jangan tanya saya, persila ambil tindakan dan orang bekenaan wajib digugurkan, baru negara selamat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Pencegahan Rasuah Kebangsaan 2024 di sini pada Khamis.

Anwar berkata, beliau juga menasihati Jemaah Menteri untuk menilai dan mengkaji sebarang projek yang telah diluluskan, sebelum meneruskannya bagi memastikan prosesnya telus, bersih dan kemungkinan ia boleh menjimatkan.

Beliau berkata, perkara sebegitu penting untuk diteliti supaya wang rakyat dapat diselamatkan dan seterusnya dipulangkan semula kepada rakyat untuk manfaat bersama.

"Namun ia memerlukan kerjasama untuk tolong selamatkan negara ini dengan lapor sesiapa yang melanggar (undang-undang), baru boleh kita serah kepada SPRM untuk bertindak, kerana ini bukan kerja SPRM sahaja, ini kerja kita, dengar, lapor dan jangan fitnah, jangan khianat.

Artikel Berkaitan:

"Sebab itu saya cadangkan SPRM, untuk adakan wacana sedemikan di seluruh negara dan membicarakan rasuah...kerana ramai dalam kalangan elit, sama ada politik, korporat dan pengurusan negara agak tak senang dengan wacana mengenai rasuah sebab mereka hidup dan bergelumang dengan itu,” katanya.

Perdana Menteri turut mempersoal sikap pemimpin pembangkang yang dilihat masih membisu dan tidak menyatakan sebarang sokongan terhadap usaha SPRM menyiasat golongan atasan yang dikaitkan dengan isu rasuah.

Malah Anwar berkata, pihak berkenaan pula sebaliknya menuduh siasatan yang dilakukan terhadap ‘maha kaya’ itu kerana dendam kesumat.

"Saya lihat di Parlimen, pembangkang menggelupur seolah-olah marah, benci. Tidak ada suara pembangkang yang sokong langkah membanteras rasuah, bagi saya aneh.

"Saya semasa menjadi pembangkang, bila ada cadangan pemerintah usul SPRM, saya dukung, malah saya kata belum cukup berani dan baru-baru ini ada tindakan SPRM terhadap salah satu tokoh besar yang dianggap paling 'maha kaya', belum ada suara daripada pembangkang,” katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28