Iktiraf bak kut teh: Dr Akmal mohon PM pecat menteri terlibat

Tangkap layar kenyataan Dr Akmal Saleh di Facebook pada Khamis. Dr Akmal Saleh (kanan).
Tangkap layar kenyataan Dr Akmal Saleh di Facebook pada Khamis. Dr Akmal Saleh (kanan).
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar memecat menteri yang terlibat dalam membuat keputusan mengiktiraf bak kut teh sebagai hidangan warisan negara.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, menteri berkenaan gagal memikirkan sensitiviti rakyat di negara ini maka sudah tiba masanya Perdana Menteri mengambil tindakan sedemikian.

"Daripada mengiktiraf bak kut teh menjadi hidangan warisan negara, lebih baik iktiraf makanan lain seperti nasi goreng cina dan banyak lagi menu yang boleh dimakan oleh semua rakyat di negara ini tanpa mengira kaum mahupun agama.

"Jika menteri tidak boleh nak berfikir sensitiviti rakyat Malaysia dan apakah relevannya dalam membuat keputusan, sudah tiba masa kita mohon agar PMX, Anwar Ibrahim untuk pecat sahaja menteri," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Khamis.

Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara, Mohamad Muda Bahadin pada 24 Februari lalu mengumumkan bak kut teh, burasak, mi kolok dan nasi ambeng antara 10 jenis hidangan diwartakan sebagai makanan warisan negara dalam Pengisytiharan Objek Warisan 2024.

Menurutnya, makanan itu telah diwartakan sebagai objek warisan melalui kuasa yang diberikan kepadanya oleh subseksyen 49(1) Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645].

Bagaimanapun pada Selasa, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa kerajaan seolah-olah tidak menunjukkan kesungguhan untuk menyelesaikan pelbagai isu yang sedang melanda negara sehingga menimbulkan keresahan kepada rakyat di akar umbi.

Katanya, apa yang rakyat mahu adalah penyelesaian isu beras, sayur, ayam, bawang, daging, ikan, telur dan bukannya bak kut teh.

Artikel Berkaitan:

Justeru Dr Akmal berkata, jika Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar diturunkan pangkat sebab prestasi merosot, maka alasan yang sama boleh digunakan kepada menteri yang gagal bertindak mengikut sensitiviti.

"Kerana jika KP pelancongan diturunkan pangkat sebab prestasi merosot, maka alasan yang sama boleh digunakan kepada menteri yang bukan sahaja merosot tetapi paling teruk dalam sejarah. Menteri 'kong ka li kong' lebih baik letak jawatan!," tegasnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28