Kanak-kanak autisme lemas: Polis siasat unsur pengabaian, kecuaian

Laporan Sinar Harian pada Rabu. (Kanan: Shahrulnizam)
Laporan Sinar Harian pada Rabu. (Kanan: Shahrulnizam)
A
A
A

PETALING JAYA - Polis akan menjalankan siasatan jika terdapat unsur pengabaian dan kecuaian penjaga dalam kes kanak-kanak lelaki autisme ditemui lemas di tasik dekat Taman Aman di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata, kejadian sebelum itu dilaporkan oleh bapa mangsa kira-kira jam 6.30 petang.

Beliau berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang ketika mangsa berumur lima tahun yang juga pemegang kad kurang upaya autisme sedang bermain dengan kembarnya di sebuah taman tasik rekreasi di dalam kawasan Sea Park di sini.

"Bapa mangsa mendakwa tertidur semasa memerhatikan anak-anaknya yang sedang bermain sekitar kawasan taman tersebut.

"Dia kemudian mencari anaknya yang hilang itu di sekitar kawasan berkenaan namun tidak menemuinya," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, bapa mangsa selepas itu menerima panggilan daripada orang awam yang menemui anaknya dalam keadaan terapung di tasik berkenaan kira-kira jam 6.50 petang.

"Mangsa ditemukan dalam jarak anggaran empat meter dari tebing tasik.

"Kematian mangsa disahkan oleh pegawai perubatan dari Hospital Sungai Buloh yang tiba untuk memberikan rawatan kecemasan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Shahrulnizam berkata, hasil bedah siasat dilakukan oleh Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh mendapati punca kematian mangsa adalah lemas.

"Bedah siasat juga mendapati tiada kecederaan lain atau sebarang unsur penderaan pada anggota badan mangsa," katanya.

Ujarnya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) memandangkan tiada sebarang unsur jenayah.

"Bagaimanapun siasatan akan diteruskan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2021 kerana pengabaian dan kecuaian oleh penjaga.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta segera menghubungi pihak Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Petaling Jaya," katanya.