Remaja perempuan maut nahas tiga kenderaan

Kemalangan melibatkan motosikal dan dua kenderaan lain (kiri), Perodua Alza yang turut terbabit dalam kemalangan. Gambar kecil: Mohd Haki
Kemalangan melibatkan motosikal dan dua kenderaan lain (kiri), Perodua Alza yang turut terbabit dalam kemalangan. Gambar kecil: Mohd Haki
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun meninggal dunia dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 14 Jalan Tanah Merah menghala ke Lubok Jong di Kampung Alor Pasir, Tanah Merah pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintanden Mohd Haki Hasbullah berkata, kejadian berlaku pada jam 8 pagi melibatkan mangsa yang menunggang motosikal jenis SM Sport E110 dan sebuah kereta jenis Proton Wira serta kenderaan pelbagai guna Perodua Alza.

Menurutnya, hasil siasatan awal pihak polis mendapati kemalangan berlaku akibat daripada Proton Wira yang dipandu oleh seorang lelaki dipercayai hilang kawalan di kawasan selekoh sebelum terbabas masuk ke laluan motosikal.

“Perodua Alza yang bergerak dari laluan yang sama melanggar sisi sebelah kanan Proton Wira itu serta motosikal yang berada di belakang menyebabkan penunggangnya jatuh ke tepi sebelah kanan jalan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Rabu.

Beliau berkata, pemandu Proton Wira yang berusia 20 tahun mengalami kecederaan parah dan dirawat di Hospital Tanah Merah manakala pemandu wanita Perodua Alza berusia 32 tahun tidak cedera.

“Polis menjalankan ujian saringan air kencing terhadap pemandu kereta terbabit dan mengambil sampel darah untuk dihantar ke Jabatan Kimia Kuala Terengganu.

“Kemalangan disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Mohd Haki dalam pada itu meminta orang ramai yang mempunya maklumat atau yang melihat kejadian terbabit boleh menyalurkan kepada Inspektor mohd Afiq Mohd Sulaiman di talian 09-9556222.

Artikel Berkaitan:

“Saya menasihatkan orang ramai supaya berhemah dan lebih berhati hati semasa berada di jalan raya,” katanya.