Fokus tingkat tenaga kerja bumiputera profesional, kompeten berasaskan TVET

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

PUTRAJAYA - Peningkatan tenaga kerja profesional dan kompeten golongan bumiputera berasaskan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah antara fokus kerajaan ke arah usaha memperkasakan TVET, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, fokus berkenaan termasuk meningkatkan penglibatan bumiputera dalam kerjaya berkemahiran, selain merancakkan pembangunan teknousahawan bumiputera dan melonjakkan penghasilan Huffaz berkemahiran.

"Pemerkasaan TVET sebagai pilihan kerjaya utama adalah penting untuk memenuhi keperluan pasaran tenaga kerja semasa dan masa depan.

"Ketika ini terdapat 1,345 penyedia TVET awam, dan swasta yang dikawal selia oleh 12 kementerian, termasuk 24 instistusi TVET kerajaan negeri yang menyediakan pengajian serta latihan peringkat sijil dan diploma,” katanya sempena Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang dijadualkan berlangsung pada 29 Februari hingga 2 Mac ini.

Ahmad Zahid berkata, beliau percaya bahawa institusi TVET dalam negara ketika ini mencukupi untuk menampung kemasukan pelajar semasa, dan keperluan penambahan institusi TVET adalah bergantung kepada enrolmen kemasukan pelajar dari semasa ke semasa.

Ditanya mengenai bidang baharu TVET yang perlu dipelopori memandangkan saban hari terdapat pelbagai teknologi baharu yang diperkenalkan, beliau berkata sistem pendidikan TVET negara akan memberi tumpuan kepada bidang baharu antaranya kenderaan elektrik (EV), kecerdasan buatan (AI), komunikasi dan digital serta tenaga solar.

"Antara pendekatan yang akan diambil adalah dengan menjalin kerjasama antara negara luar yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan seperti China, Jepun dan Jerman.

"Kerjasama ini bakal memberi manfaat kepada pelajar tempatan untuk mendapat pendedahan kemahiran dalam bidang baharu daripada syarikat luar yang beroperasi di Malaysia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

TVET kini mendapat perhatian serius daripada kerajaan dengan Dasar TVET Negara dijangka dibentang di Kabinet pada Mac depan sebelum dilancarkan pada 2 Jun bersempena Hari TVET Negara.

Ahmad Zahid sebelum ini juga dilaporkan berkata, kerajaan berhasrat menghantar pelajar Malaysia mengikuti pengajian dalam bidang TVET di China selaras dengan Dasar Pandang Ke Timur 2.0.

Menurutnya perancangan itu adalah antara usaha kerajaan memperkasa TVET negara, dan kerajaan berhasrat menghantar lebih ramai pelajar Malaysia mengambil jurusan itu di Jepun dan Korea Selatan.

Pada 14 Februari lepas ketika Majlis Prapeluncuran KEB 2024, Ahmad Zahid berkata, 10 kumpulan meliputi 10 sektor akan diwujudkan pada KEB 2024 iaitu Reformasi Pendidikan dan Modal Insan; Institusi TVET Pilihan Kerjaya Utama dan Pengukuhan Industri Halal.

Kumpulan lain ialah Pembangunan Desa dan Pemerkasaan Masyarakat Orang Asli; Penciptaan Kekayaan dan Penguasaan Korporat; Daya Saing Perusahaan Bumiputera; Penguasaan Teknologi Baharu; Felda dan Tanah Wilayah; Sosioekonomi Bumiputera Sabah serta Sosioekonomi Bumiputera Sarawak.

Bertemakan "Positif, Progresif, Inovatif”, KEB 2024 ialah landasan penting dalam mencari jalan lebih serius bagi memperkasakan ekonomi bumiputera khususnya dalam aspek teknologi baharu dan pelan futuristik untuk generasi akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berkata, KEB 2024 menjadi antara agenda penting Kerajaan Madani bagi merombak serta melonjak pembangunan sosioekonomi bumiputera secara menyeluruh supaya berkembang maju secara progresif dan inovatif. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28