Tanpa tangan pun boleh bekerja

Zulkifle menggunakan kakinya untuk melaksanakan tugasnya sebagai Pegawai ICT di Pusat Khidmat DUN Paloh, Gua Musang sambil diperhatikan oleh Azman (kiri).
Zulkifle menggunakan kakinya untuk melaksanakan tugasnya sebagai Pegawai ICT di Pusat Khidmat DUN Paloh, Gua Musang sambil diperhatikan oleh Azman (kiri).
A
A
A

GUA MUSANG - Dilahirkan dengan kekurangan fizikal kerana tidak mempunyai kedua-dua belah tangan, namun ia bukanlah halangan untuk graduan ini menggapai cita-cita.

Bagi Mohd Zulkifle Nordin, 24, dari Felda Aring 1, kekurangan itu menjadikannya lebih gigih untuk memecah tembok kepercayaan individu lain terhadap golongan orang kurang upaya (OKU).

Menurut pemegang Ijazah Pengurusan Hartanah dari Universiti Teknologi Mara (UITM) Sri Iskandar ini, dia bersyukur kerana pada tahun ini dia diterima bekerja sebagai Pegawai ICT di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh.

"Saya menamatkan pengajian di UiTM pada Ogos tahun lalu dan menghantar permohonan bekerja di beberapa jabatan serta agensi.

"Namun, rezeki saya di tempat yang lebih dekat di sini kerana saya tinggal di Felda Aring 1 dan saya bekerja di Bandar Chiku. Setiap hari ayah akan hantar ke tempat kerja kerana saya tidak boleh memandu.

"Saya tiada masalah untuk menguruskan diri kerana saya sudah berdikari sejak berada di universiti lagi. Walaupun hanya menggunakan kaki tetapi saya sudah biasa dengan situasi ini sejak kecil," katanya.

Selain boleh menguruskan diri Dengan menggunakan kedua-dua belah kaki termasuk menulis, Mohd Zulkifle juga mahir dalam sukan sepak takraw dan pernah menyertai Para Sukan Malaysia (Sukma) alam acara olahraga 100 meter.

Anak ketujuh daripada lapan beradik ini tekad mahu membuktikan golongan OKU mampu menikmati kehidupan dan mencapai kejayaan seperti individu normal yang lain.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Penyelia DUN Paloh, Azman Ahmad berkata, pihaknya mencipta rekod baharu kerana memberi peluang kepada OKU untuk bekerja di salah satu jabatan kerajaan Kelantan di DUN berkenaan.

"Ia juga sebagai usaha untuk membantu Mohd Zulkifle menempatkan diri dalam alam pekerjaan selepas memperoleh kelulusan akademik yang cemerlang.

"Saya berharap dia mampu menggalas tanggungjawab di pejabat ini dengan baik. Pada masa yang sama, kakitangan lain sedia membantunya sekiranya dia berdepan masalah," katanya.