Perak sedia diskaun premium tanah hingga 30 peratus kepada pelabur

Sze Yee dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Isnin.
Sze Yee dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak menyediakan diskaun premium tanah kepada pemaju dan pemohon yang berminat membuat pelaburan ke negeri ini.

Diskaun antara 10 hingga 30 peratus itu diberikan ke atas semua projek yang diluluskan dan menepati kriteria ditetapkan.

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, permohonan bagi pengurangan itu boleh dibuat setelah permohonan Kebenaran Merancang (KM) dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan atau pihak berkuasa yang berkenaan.

"Kebenaran untuk kerja awalan turut diberikan setelah permohonan KM ini dikemukakan.

"Proses kelulusan KM secara fast-track (laluan pantas) juga diberi dalam tempoh 21 hari dengan syarat semua keperluan dokumentasi adalah lengkap.

"Kerajaan negeri turut memberikan remisyen cukai tanah dalam tempoh tiga tahun selepas tahun production date (tarikh pengeluaran),” katanya ketika menjawab soalan lisan Jason Ng Thien Yeong (PH-Astaka) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Isnin.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, konteks mentransformasikan negeri Perak ke arah perindustrian sedang giat dijalankan menerusi Pelan Perak Sejahtera 2030.

Katanya, menerusi inisiatif itu, konsep cadangan bagi penubuhan kawasan industri high-tech giat dicadangkan untuk dibangunkan antaranya melibatkan kawasan Daerah Kerian dan Daerah Muallim.

Artikel Berkaitan:

"Usaha ini membuktikan kerajaan Perak mengambil berat akan peranan industri dalam memangkin pertumbuhan ekonomi di negeri ini," katanya.