PKPS, KPKM tingkat jaminan makanan

Mohamad Khairil (depan, kanan) dan Lokman Hakim (depan, kiri) masing-masing menunjukkan MoU kerjasama di antara PKPS dengan KPKM sambil disaksikan (belakang, dari kiri), Mohamad, Amirudin, Anwar dan Saarani.
Mohamad Khairil (depan, kanan) dan Lokman Hakim (depan, kiri) masing-masing menunjukkan MoU kerjasama di antara PKPS dengan KPKM sambil disaksikan (belakang, dari kiri), Mohamad, Amirudin, Anwar dan Saarani.
A
A
A

KUALA SELANGOR – Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menandatangani kerjasama baharu yang diyakini mampu meningkatkan aspek keselamatan makanan di samping membangunkan usahawan tani.

Kerjasama itu diterjemahkan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di antara kedua-dua melibatkan peruntukan dana sebanyak RM23 juta.

MoU itu ditandatangani dan diserahkan di antara Ketua Pegawai Eksekutif PKPS, Dr Mohamad Khairil Mohd Razi manakala KPKM diwakili Ketua Setiausahanya, Datuk Lokman Hakim Ali dan disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Program MADANI Rakyat 2024 Peringkat Zon tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor, di sini pada Ahad.

Turut menyaksikan penyerahan MoU itu Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Menurut Mohamad Khairil, MoU tersebut memfokuskan kepada lima bidang utama menerusi projek khusus meliputi tanaman jagung bijirin, penternakan lembu tenusu, tanaman kontan bernilai tinggi, Gedung Makanan Ehsan Selangor serta memanfaatkan tanah terbiar untuk penanaman komersial.

MOHAMAD KHAIRIL
MOHAMAD KHAIRIL

“Melalui kelima-lima bidang utama ini, ia mampu memberi nilai tambah kepada usaha meningkatkan keselamatan makanan rakyat negara ini khususnya di Selangor di samping melahirkan lebih ramai usahawan tani.

“Dalam tempoh satu tahun, PKPS akan memastikan projek ini berjalan dan diurus dengan baik bagi memastikan hasilnya dapat dinikmati seperti yang dirancang,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut mengenai kerjasama itu, projek khusus pertanian tersebut katanya akan dilaksanakan tidak hanya melibatkan milik perbadanan itu sahaja, tetapi turut merangkumi tanah-tanah milik kerajaan negeri serta agensi-agensi kerajaan yang lain.

Jelas Mohamad Khairil, bagi tanah milik PKPS sahaja, ia dianggar melibatkan keluasan di antara 60 hingga 70 ekar (24.3 hingga 28.3 hektar).

“Sebagai contoh, untuk projek tanaman cili fertigasi, kita mensasarkan setiap petani mendapat satu ekar tanah untuk diusahakan.

Produk buah-buahan yang dijual pada harga berpatutan di gerai PKPS sempena Program MADANI Rakyat 2024 Peringkat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor pada Ahad.
Produk buah-buahan yang dijual pada harga berpatutan di gerai PKPS sempena Program MADANI Rakyat 2024 Peringkat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor pada Ahad.

“Namun ianya tidak tertumpu kepada projek tanaman cili semata-mata, tetapi turut meliputi tanaman lain seperti tembikai dan sayur -sayuran bernilai tinggi. Dengan kepelbagaian tanaman ini, kita percaya ia akan memberi pulangan tinggi kepada petani yang terlibat,” ujarnya.

Lokasi

Projek khusus pertanian itu akan dilaksanakan di Selangor Fruit Valley di Kuala Selangor serta tanah-tanah terbiar di bawah kabel bervoltan tinggi di Sungai Blankan, Sepang bagi tanaman kontan.

Sementara itu, bagi projek ternakan lembu tenusu, ia akan dilaksanakan di Kompleks Ladang Tenusu Sungai Tengi Selatan, Sepang yang ketika ini dalam proses pembinaan.

“Kita juga juga sudah kenal pasti lokasi di Rawang dan Kuala Langat untuk dijadikan tanaman jagung bijirin,“ katanya yang turut memaklumkan PKPS dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) akan bekerjasama mewujudkan Gedung Makanan Ehsan Selangor.

Manfaat besar rakyat, negara

Dalam pada itu, Mohamad Khairil menzahirkan penghargaan kepada KPKM, Menteri Besar Selangor, Kementerian Ekonomi serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang bersama-sama memberikan komitmen penuh terhadap usaha PKPS.

Produk beras dan minyak masak jenama Ehsan PKPS dijual kepada orang ramai sempena Program MADANI Rakyat 2024 Peringkat Zon Tengah. di Kuala Selangor.
Produk beras dan minyak masak jenama Ehsan PKPS dijual kepada orang ramai sempena Program MADANI Rakyat 2024 Peringkat Zon Tengah. di Kuala Selangor.

Projek khusus pertanian yang dirancang PKPS melalui kerjasama itu katanya membantu meningkatkan keselamatan makanan negara serta mengurangkan kebergantungan kepada sumber import.

“Sebagai contoh, tanaman jagung bijirin ini mampu menyumbang keselamatan makanan dengan 65 peratus hasil tanaman itu adalah untuk makanan ayam dan ternakan.

“Secara logiknya, ia sekali gus boleh mengurangkan kos makanan dedak ayam kerana ia dihasilkan dalam negara. Seterusnya, ia memberi kesan kepada penurunan harga ayam di pasaran yang dibeli oleh rakyat.

“Begitu juga dengan ternakan lembu tenusu. Selepas ini, kita tidak akan bergantung lagi kepada bekalan susu import,” ujarnya.

Pada masa sama, Mohamad Khairil turut mengajak mereka yang mempunyai potensi serta minat untuk menyertai program usahawan tani di bawah PKPS dengan melayari laman Facebook PKPS atau melayari laman sesawang, www.pkps.gov.my.

“Kita akan bantu beri khidmat nasihat kepada mereka yang mula ingin terlibat dalam pertanian sehinggalah kepada pengkomersialan,” katanya.